Monday, 22 August 2016

Subuh Terindah di Padang Panjang



Bila saya teringatkan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, terlintas di benak fikiran saya bahawa segala lahiriah yang kita tunjukkan dari diri kita adalah daripada sikap, tabiat kita selama ini.
Mungkin sebelum saya mengikuti kembara ‪#‎jejakhamka‬ pada Julai yang lalu, banyak lagi sisi-sisi lain dari diri saya yang belum saya sedar bahawa itulah diri saya yang sebenar, yang saya tidak begitu hargai pada diri sendiri.
Jakarta-Puncak-Bandung bersama famili, Oman-Haramain bersama Ibu dan Angah, usaha dakwah iman dan amal Sri Petaling-Kuala Kedah, menuntut ilmu di Kuala Terengganu, berkelana seorang diri di "Kota Singa", berulang-alik berprogram dari Terengganu ke Selangor,...
itulah permusafiran saya sebelum ini. Namun setakat mana saya dapat mengenali diri?
Yang membuatkan saya hendak mencatat memoir ini, adalah apabila mengenangkan peristiwa pada hari terakhir #jejakhamka ketika berada di Hotel Flamingo, Padang Panjang, pada waktu subuh.
Subuh itu adalah subuh terindah buat saya sepanjang 21 tahun saya dihidupkan dengan izin Allah Al Hayyil Qayyuum.
Malam sebelum hari terakhir kembara, kami bermalam di Hotel Flamingo, Padang Panjang. Urusetia kembara kami mengagihkan bilik kepada para peserta. Setiap bilik menempatkan dua orang peserta kembara. Saya ditempatkan di sebuah bilik bersama seorang Ustaz.
Dijadikan cerita, saya dan rakan sebilik berjaga beberapa minit sebelum masuknya waktu Subuh (saya tidak ingat siapa yang berjaga dahulu). Selepas saya menyegarkan diri, saya memaklumkan hasrat saya untuk keluar mencari masjid yang berdekatan untuk menunaikan solat Subuh berjemaah. Rakan sebilik saya juga menyatakan hasrat yang sama, tetapi beliau tidak dapat mengagak berapa jauh masjid yang berdekatan dengan hotel kami. Saya terus menawarkan diri untuk keluar mencari masjid berdekatan. Jika saya jumpa, saya akan memaklumkan melalui whatsapp. Beliau pun bersetuju.
Saya keluar melewati pintu utama hotel. Keadaan sedikit kelam namun dapat menghirup udara keheningan pagi yang sangat segar, udara negeri "Serambi Mekah" yang mendamaikan. Saya berjalan terus beberapa langkah hinggalah sampai ke suatu simpang tiga yang tidak jauh di hadapan hotel.
Di persimpangan itu, sayup-sayup kedengaran suara Sang Qari membaca al Quran seperti dari corong pembesar suara, di sebelah kanan. Barangkali di kawasan itulah masjid atau musolla berdekatan, fikir saya. Lantas saya berjalan berberapa langkah ke sebelah kanan.
Baru sahaja beberapa langkah, saya terlihat seorang muslimin dan beberapa orang muslimat berjalan bertentangan dengan saya, menuju ke arah persimpangan di sebelah kiri saya berdiri tadi. Saya hentikan langkah, badan dan kepala saya menoleh ke arah mereka. Saya teringat pesan Ibu: "Kalau awak tengah jalan mencari masjid tapi tak tahu di mana, ikut sahaja ke mana orang berkopiah (pakaian untuk menunaikan solat) itu pergi."
Saya berjalan mengikuti jejak langkah mereka. Lebih kurang 100 meter dari persimpangan tadi, terseragam indah sebuah masjid di hadapan saya. Ada sinar cahaya pada gemerlapan subuh. Saya puas kerana menjumpai apa yang saya cari. Syukur Alhamdulillah.



Saya mengeluarkan telefon saya, merakam sekeping dua gambar di luar masjid dan mengepilkan gambar-gambar ini, memaklumkan keberadaan masjid ini kepada rakan sebilik saya, melalui whatsapp. Beberapa saat selepas itu, masih belum kelihatan tanda-tanda beliau menerima atau membaca mesej saya.
Rasa puas menjadi pudar kerana saya belum menjalankan amanah dengan baik. Lantas saya 'foward'kan mesej-mesej saya ini kepada kumpulan whatsapp khusus untuk peserta kembara #jejakhamka, dengan harapan bahawa dengan usaha ini dapatlah dimaklumkan jua bahawa adanya masjid terdekat di hotel ini kepada rakan sebilik khususnya.
Azan Subuh berkumandang. Saya mengambil wudhuk dan menunaikan solat sunat tahyatul masjid dan qabliyyah subuh sekaligus usai azan berakhir. Apabila sang bilal melaungkan iqamah, saya perasan keberadaan Ustaz Pahrol bersama anaknya, yang juga sebaya dengan saya.
Usai menunaikan solat Subuh berjemaah, saya menolehkan kepala ke kiri dan ke kanan, mencari rakan sebilik saya. Tiada. Barangkali beliau sudah keluar lebih awal atau solat di masjid lain.
Setelah selesai berzikir dan berdoa, saya keluar dari masjid ini, dengan tidak keseorangan. Saya berjalan keluar bersama-sama Ustaz Pahrol dan anak lelakinya, menuju destinasi yang sama, iaitu kembali ke hotel.
Berjalan dengan anak beranak ini sambil menghirup udara Subuh yang segar merupakan suatu memori indah yang akan saya kenang sampai bila-bila. Kerana di sinilah berlakunya suatu peristwa yang saya tidak pernah bermimpi, saya dilayani sebegini.
"Saya juga hendak keluar solat berjemaah di masjid," Ustaz Pahrol memulakan cerita.
"Saya tanya kepada receptionist hotel tadi, adakah ada masjid terdekat di sini? Jawabnya, masjid dari sini jauh (kedengaran seperti amat jauh)."
Saya terkesima sebentar.
"Rupanya takrifan "jauh" di sini lain ya. Alhamdulillah saya baca mesej dalam 'group' tadi."
Saya bersyukur dalam hati. Walau niat saya untuk membantu rakan sebilik saya, tapi saya tidak menyngka dengan cara saya menghebahkan kepada 'group' tadi dapat membantu mukminin yang lain.
"Nak, berhenti sekejap, kita ambil gambar. Adik (panggilan Ustaz Pahrol untuk anaknya), ambilkan gambar Ayah dengan Yusof."
Saya tersenyum, perlahan-lahan melebarkan lagi senyuman sehingga nampak gigi yang bersusun. Rasa dihargai. Saya terharu, diam seribu kata, tidak tahu hendak memberikan respons yang macam mana.
Setelah itu, kami terus berjalan, sambil menghirup udara pagi yang segar.
Pada kesempatan itu juga saya berkongsi cerita mengenai Subuh saya di Maninjau, beberapa hari lepas. Semasa saya berjalan menuju ke musolla berdekatan tempat penginapan, pada suatu simpang yang betul-betul di hadapan musolla, saya terlihat sekumpulan anak muda sedang duduk-duduk di sebuah pondok, sedangkan pada waktu itu solat Subuh di musolla sedang berjalan.
Adakah pemuda-pemuda ini sudah menunaikan solat Subuh? Saya meluahkan kekecewaan saya pada Ustaz, mengenangkan betapa sukarnya pemuda-pemuda di Tanah Air kita untuk bangun menunaikan solat Subuh. Saya juga tidak terkecuali pernah melalui kesukaran ini, yang mana rasa derita ini hanya Allah yang tahu.
Kami terus berjalan dan berkongsi rasa, bertukar cerita, hingga sampai ke hotel.
Detik-detik ketika berada dalam bas juga membuatkan saya menginsafi peri pentingnya pembentukan sikap dan tabiat pada diri sendiri. Suatu petang dalam perjalanan dari Padang Panjang menuju Maninjau, kami diuji dengan kesesakan lalu lintas . Saya yang baru tersedar dari "tidur-tidur ayam" terus menggaru hidung saya dengan kuat. Ustaz Pahrol di sebelah saya menegur dengan lembut,
"Selsema ke?"
"Ah? gatal hidung saja." Respon saya.
Bila saya teringat peristiwa itu, saya senyum seorang diri. Segan pula rasa.
Ketika melewati "Kelok palsu" dan "Kelok 44" menuju ke Maninjau buat pertama kali juga tidak kurang hebatnya. Dengan jalan yang bengkang-bengkok, hari yang semakin gelap, hujan yang turun, dan jalan yang sempit membuatkan saya berasa takut, sangat penat dan berasa mabuk jalan. Saya melatih bibir saya untuk terus berwirid, mengajar diri untuk bertawakkal. Saya melihat Ustaz Pahrol di sebelah saya, beliau sesekali mengucapkan kalimah-kalimah zikrullah apabila terlihat bas melewati dengan kenderaan yang menghimpit dari arah bertentangan dan ketika bas melewati satu-satu selekoh yang sempit. Alhamdulillah akhirnya sampai jua ke Maninjau Inn dengan selamat.

Hikmah di sebalik peristiwa-peristiwa ini, saya lebih mengingatkan diri saya bahawa lahiriah kita ini adalah daripada tabiat kita, bagaimana kita mencorak sikap kita. Benarlah kata seorang tokoh, hendak mengenali seseorang yang dianggap baik, kenalilah dia dengan bermusafir dengannya. Daripadanya kita pelajari sikapnya. Daripadanya itu kita dapat mencermin diri kita. Daripadanya kita temui apa yang tidak ditemui pada diri kita.
Peristiwa Subuh ini menemukan diri saya, bahawa saya berjaya mencorak dan dicorak sang pendidik ke atas diri saya akan kepentingan menjaga waktu pagi kita. Nampak macam biasa sahaja pada diri saya tetapi yang tersirat itu, sedikt demi sedikit saya dapat menghargai diri saya lebih daripada sebelumnya. Setiap kali saya rasa 'down' disebabkan banyaknya dosa, saya teringat akan peristiwa Subuh ini.
"Betapa banyaknya limpahan kasih Allah pada hamba-Nya, tapi banyakkah aku menghargai diri aku sebagai hamba Allah, atau lebih banyak sering mengeluh kalah?"
Astaghfirullah. Astaghfirulahal adzhim. Berulang kali hati saya menyoal.
Ya Allah jadikanlah kami hamba-Mu yang bersyukur..
2335
21082016
Teratak Indah, Alor Gajah.

No comments:

Post a Comment