Banyangkan, anda berada di sebuah zaman yang dimana bumi yang anda duduki itu tidak lagi menghijau. Udara yang dahulunya bersih menjadi lebih kotor, penempatan yang dahulunya menyenangkan menjadi setinggan, bandar yang maju menjadi penuh dengan debu, terlalu ramai yang menanggur, keadaan manusia sekeliling semuanya miskin belaka. Dapat kerja pun, orang sibuk perli; kerja kuat manapun keadaan tetap sama. Saban hari setiap pagi untuk ke tempat kerja, dengan penuh sesak dengan manusia untuk ke sana kanak-kanak kecil berebut-rebut datang meminta sedikit wang. Kata mereka kalau ada wang, dapatlah keluar dari bumi yang kotor ini untuk naik ke angkasa, hidup di sana.
Apa? Hidup di angkasa?
Ya, dalam zaman itu, anda hanya melihat satu-satunya untuk meneruskan kehidupan yang baik hanyalah dengan hidup di sebuah kapal angkasa. Kapal angkasa itu memberikan penempatan kepada manusia dimana mereka dapat melangsungkan kehidupan dengan udara yang bersih, persekitaran yang moden dan menghijau, cukup makan sihat-sihat belaka. Senang kata, di sana dapat hidup secara normal, tidak seperti hidup di bumi yang kotor itu. Akan tetapi, hanya orang-orang kaya sahaja yang layak untuk hidup di kapal itu. Sesiapa yang datang dari bumi tanpa kebenaran akan ditembak atas alasan 'Pendatang Tanpa Izin (PATI)'.
Anda yang masih beriman, cuba lihat, dan renungi kalam Allah di Surah al Baqarah, Surah kedua ayat 30. Apa lagi tujuan Allah subhaanahu wa taala menciptakan kita sebagai manusia selain menjadi makhluk yang memimpin (khalifah), yang memakmurkan bumi ini?
Anda berada dalam situasi dan keadaan sedemikan, anda sedar, bumi ini sudah lama menjadi kotor dan tidak ubah seperti ketinggalan dan ditinggalkan adalah kerana kealpaan umat manusia bertahun dahulu yang hidup di bumi ini dengan sewenang-wenangnya. Manusia pada ketika itu meraih nikmat yang ada di muka bumi, akan tetapi mereka alpa dalam menguruskan bumi ini secara zahir seperti membuang sampah merata tempat, membiarkan asap-asap kotor berterbangan ke udara dan pembangunan yang tidak terkawal. Secara batinnya, amalan rasuah, hasad dengki, merasa tidak takut pada Tuhan menjadi rutin tanpa rasa ingin kembali kepada Yang Menciptakan Bumi ini. Anda akui, kata-kata Allah dalam Surah ar Rum ayat 41 sangat membuktikan bahawa rosaknya bumi kerana tangan-tangan manusia.
Anda mula sedar, rosaknya bumi kini kerana rosaknya umat terdahulu, dan tiada seorangpun yang mengubah bumi ini menjadi lebih baik buat sekian lamanya. Manusia yang baik-baik terdahulu semuanya sudah tiada. Anda tercari-cari lagi jawapan dan alasan bagaimana untuk meneruskan kehidupan anda pada ketika ini.
Patutkah anda tinggalkan bumi ini? Persoalan timbul.
Perhatikan kisah Nabi Yunus a'layhissalam, Baginda meninggalkan umatnya kerana berasa tidak tahan dengan keengganan mereka untuk menerima ajakan Baginda untuk kembali kepada ajaran Tauhid yang benar. Baginda meninggalkan tempatnya yang bernama Nainawa menuju ke laut, lantas menaiki sebuah kapal dan berlayar bersama manusia-manusia di situ. Dipendekkan cerita, Nabi Yunus akhirnya merelakan dirinya untuk jatuh ke tengah lautan setelah diundi sebanyak tiga kali oleh penumpang kapal yang dimana keadaan kapal itu menjadi kalut, menjadikan mereka terpaksa membuang salah seorang dari mereka untuk menstabilkan keadaan kapal itu. Allah menguji Nabi Yunus dengan mengutuskan seekor ikan Nun untuk menelan Baginda. Baginda akhirnya dapat dikeluarkan setelah 40 hari hidup di perut ikan Nun bertemankan zikir di bibir Baginda dalam keadaan tiada makan minum.
Anda yang merenungi kisah ini membayangkan, jika anda yang masih mengaku beriman dalam hati, anda tinggalkan bumi ini tanpa sebarang usaha untuk memakmurkan bumi ini, apa akibatnya bila Allah uji anda ketika dalam perjalanan ke angkasa sana? Anda tiba-tiba diuji dengan kederaan untuk kesana menjadi rosak sedangkan anda sudah baru sahaja sudah keluar dari atmosfera bumi. Ketika itu anda berasa sesak, seakan-akan peluang untuk menungkapkan kata-kata kembali kepada Allah terasa sempit.
Anda yang membuat keputusan untuk meninggalkan bumi hanya untuk hidup selesa semata, serupalah anda ini seorang manusia yang tidak bertanggungjawab. Manusia yang tidak bertanggunggjawab itu bukanlah dari sifat kalangan orang mukminin, yang mana sifat orang mukminin itu adalah yang memelihara tanggungjawabnya yang Allah telah perkatakan dalam Surah al Mukminun, surah ke 23 ayat ke 18.
Anda yang mahukan kehidupan yang lebih baik tetapi tidak menjadikan tujuan Allah menjadikan anda sebagai seorang manusia sebagai pegangan hidup, sampai bilapun bumi ini tidak akan menjadi baik. Statik, atau menjadi lebih buruk lagi. Anda zalim terhadap diri sendiri kerana menzalimi manusia lain dengan membiarkan mereka hidup dalam kemunduran.
Ketahuilah, kehidupan di dunia ini hanya bersifat sementara, permainan dan penuh dengan gurau senda serta tipu daya. Jika anda hanya melihat kehidupan di dunia ini untuk menjadikan diri anda lebih selesa, ketahuilah anda tidak akan selamanya selesa. Sakit yang tiada sejak sekian lama pun, mati jua menemui anda akhirnya, dan anda menuju jua ke suatu daerah yang sama dengan seluruh makhluk, iaitu alam Akhirat. Alam ini bersifat kekal dimana seluruh makhluk tidak boleh kembali kepada kehidupan mereka di dunia. Segala apa yang anda lakukan sepanjang kehidupan anda di dunia ini semuanya dihitung oleh Allah Subhaanahu Wa Ta'aala, dan menjadi penentu kepada sengsara atau bahagia yang berkekalan.
Terfikirkah anda, apa yang anda lakukan dan usahakan sekarang menjadi penentu kepada kehidupan anda di akhirat kelak?
Menuju kehidupan dunia yang sementara, atau mahukan kehidupan akhirat yang sempurna?
Tepuk pada dada, tanya sama iman.
...
Pengajaran dari coretan ini?
Apa yang saya nukilkan ini, sebenarnya untuk diri saya sendiri. Saya mempunyai impian sendiri, mahukan kehidupan yang lebih baik dari membiarkan diri berada dalam persekitaran jahiliah ini. Akan tetapi, saya membuat perumpamaan sebegini untuk refleksi diri, dan anda semua, agaknyalah kan, kita ni manusia jenis apa bila berhadapan dengan keadaan seumpama ini.
Sedangkan nak habis pengajian diploma ini, teragak-agak lagi nak kekal di universiti ini atau tidak. Moga Allah ampuni atas kelemahan saya dan kta semua. Moga saya dan para pembaca sentiasa diberi taufik dan hidayah untuk sama-sama melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang khalifah yang memakmurkan bumi ini.
Amiin. Jazakumullah Khair.
No comments:
Post a Comment