Sunday, 17 October 2021

Catatan kehidupan: Melihat seorang ibu tunggal yang dihukum

Kes ibu tunggal yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah ini menyentuh hati aku.

Peristiwa yang berlaku ini mengingatkan aku kepada novel "Terusir" karya Buya Hamka, rahimahullah. Novel itu menceritakan seorang isteri yang juga merupakan seorang ibu kepada anak lelaki, diceraikan oleh suaminya. Ketika itu, anaknya iaitu Sofyan masih kecil.

Ibu yang diceraikan itu pergi mencari rezeki sebagai pembantu rumah. Setelah majikannya berpindah, maka ibu itu berkahwin dengan lelaki yang juga pembantu rumah bagi majikannya. Malangnya, lelaki durjana itu meninggalkan ibu itu terkontang-kanting.

Tanpa arah tuju, ibu malang itu jatuh ke lembah pelacuran. Ibu itu tiada pilihan. Ketika ini, aku fikir mungkin ibu malang ini sudah berkali-kali mengadu pada Tuhan akan malangnya nasib yang menimpanya.

Suatu hari setelah beberapa lama, sang ibu itu terdengar bahawa ada seorang peguam yang hebat dan masyhur. Tahulah akhirnya sang ibu itu bahawa peguam hebat itu adalah Sofyan, anaknya yang amat dia rindui. Dapatkah kita tebak, bagaimana hati seorang ibu ketika mendengar khabar anaknya, bahawa anaknya sudah berjaya? Sedangkan pada masa yang sama, Sofyan yang sudah menjadi orang hebat itu, tidak ketahuan di mana ibunya.

Pada ketika itulah, sesuatu yang berlaku terjadi.

Ibu yang malang itu terdengar cercaan seorang lelaki di rumah pelacuran itu, mencerca anaknya Sofyan. Lelaki itu menghina bahawa Sofyan memiliki ibu yang melacurkan diri. Lantas ibu itu membunuh lelaki itu. Ibu itu ditangkap polis dan akan dibawa kepada perbicaraan atas kesalahan membunuh.

Kejadian tersebut membawa pembaca kepada suasana perbicaraan, dan sesuatu yang berlaku yang menjentik hati sanubari para pembaca.

Ibu yang malang itu dibicarakan atas tuduhan membunuh. Jika keputusan didapati bersalah, ibu yang malang itu akan dihukum dengan hukuman mati. Lalu, siapakah yang membela ibu ini?

Sofyan, anak ibu malang itu yang membela ibu ini. Ibu itu kenal akan anaknya namun Sofyan tidak mengetahui, orang yang dibela itu adalah ibunya sendiri, yang terpisah sekian lama.

Ketika perbicaraan, Sofyan memberikan hujah-hujah pembelaan, yang memohon agar hakim melepaskan tuduhan. Di situlah para pembaca akan tersentuh hati melihat susunan dan kepetahan kata-kata Sofyan, seolah-olah Sofyan sendiri tidak melihat apa-apa kesalahan terhadap ibu malang itu.

Adakah pembelaan itu berjaya? Ya! Walaupun peguam itu tidak mengenali ibunya sendiri. Ibu malang itu dilepaskan daripada tuduhan membunuh dengan sengaja! Namun... adakah ibu malang itu tahu keputusan perbicaraan itu? Adakah Sofyan sendiri akhirnya akan mengenali, bahawa orang yang dibela itu adalah ibunya sendiri?

Begitulah apa perasaan aku ketika melihat dan membaca peristiwa yang berlaku ini. Sudah tentunya berbagai cerita dan sisi yang kita sendiri tidak nampak. Diceritakan bahawa ibu tunggal yang disabitkan bersalah mengedar dadah itu mempunyai sembilan orang anak. Dalam hati aku, apakah ada sedikit pembelaan yang telah diberikan atau dibicarakan terhadap ibu tunggal ini? Ataupun, sahabat-sahabat pembaca yang membaca coretan aku ini, berfikir bahawa memang sepatutnya diberikan hukuman yang setimpal atas kesalahannya.

Aku tidak tahu menahu mengenai kamar bicara di mahkamah, dan sebagainya. Coretan aku ini hanyalah satu luahan rasa terhadap apa yang aku baca dan amati dalam kejadian ini. Dadah adalah perosak dan musuh kita semua, namun, kita semua masih terhijab akan sisi-sisi kehidupan di sebalik sesuatu kejadian.


17102021

Eusoff Amiruddin,

9.42pm yang setiap hari berfikir tentang kehidupan.

No comments:

Post a Comment