Hari Wanita Sedunia: Catatan Kenang-kenangan
1. Menginjak usia-usia pertengahan 20an, seringkali aku bergaduh dengan ibu. Bila difikirkan memang teruk jugak aku ni. Tak reti bersyukur aku masih ada seorang ibu. Rasa malap masa depan, kerana bila ada zuriat nanti, aku pasti akan diuji dengan perangai yang seperti aku.
Aku tak tahu kenapa. Mungkin kebahagiaanku sedang dihiris-hiris oleh kemahuan dan berahi nafsu. Mungkin itulah seperti orang kata, tanpa tarbiah pasti rebah. Selalu aku sedar hal ini, tapi aku masih jatuh, jatuh dan bangkit dan jatuh lagi. Aku hanya mampu berdoa setiap kali selepas solat agar orang tuaku diampunkan dosa, serta sebelum itu diriku yang menjadi keras hati akibat dosa-dosa masa muda.
2. Cinta dan kisah-kisah yang tidak kesampaian.
a. Aku mula rasa minat pada wanita sejak umur 9 tahun. Wanita pertama waktu itu ialah orang yang sebaya denganku. Dia jiran aku dulu dan satu tusyen denganku. Balik pun aku tumpang sama dengan kereta orang tuanya. Masih aku ingat aku senyum depan-depan tapi dia kerut dahi. Sekarang ni aku tak tahu apa cerita. Mungkin berjaya jauh sebagai seorang wanita yang cerdik.
b. Pada zaman belajar ni, aku boleh katakan tiap zaman tidak lari daripada rasa suka pada kawan-kawan perempuan. Pada zaman aku masuk madrasah tahfiz dulu, usia 9 sampai 11 tahun, wanita yang aku ingat hanya wanita yang aku ceritakan dekat point a tadi itu. Tapi aku tak berapa nak tahu perihal wanita waktu tu. Sebabnya aku sibuk menghafal al-Quran, sampai 13 juzuk banyaknya, mengikut method deobandi (darul ulum deoband).
Pada usia 12, aku kena keluar dari madrasah sebab orang tua aku suruh ambil UPSR. Walaupun aku tak setuju, aku akurkan saja. Aku kembali bersekolah di sekolah lama, dan aku terlalu segan nak pandang muka rakan-rakan sekelas yang perempuan. Sebabnya, 2 tahun aku sekolah lelaki.
Tapi dalam segan, aku tak dapat elakkan rasa suka pada perempuan. Kawan-kawan sekelasku melantik aku jadi ketua kelas darjah 6, dan seorang penolong ketua iaitu seorang perempuan. Entah kenapa, aku jadi suka. Dan waktu tu aku tak tahu apa itu cinta, tapi, kini aku anggap itu hanya masa lalu. Sekarang kawanku itu sudahpun berkahwin dengan pilihannya. Alhamdulillah. Walaupun ada beberapa orang rakan di kalangan junior yang menyatakan minat kepadaku, tapi kalau dah nama sekolah rendah, masa lalu hanyalah masa lalu yang tiada apa-apa yang hendak dibicarakan di sini.
Masuk sekolah menengah, 5 tahun aku bersekolah lelaki. Menghafal al quran juga. Waktu itu kita tumbuh menjadi remaja. Namun ada juga ujian, yang datang daripada sekolah perempuan (dikatakan sekolah ‘rival’ bagi sekolah kami pada sesetengah cikgu). Benda-benda macam ni tak mustahil terjadi walaupun aku bersekolah lelaki. Zaman itu pun sudah ada telefon bimbit, maka ada saja orang-orang yang katanya hendak berkawan. Namun apa yang jadi, dinyatakan rasa suka. Aku pun tertanya, apakah waktu-waktu ini aku dapat berikan tumpuan pada cinta? Maka aku pun nyatakan maaf dan pernah marah kerana rimas. Tapi kalau aku nak cakap cinta aku pada ilmu semata, macam poyo sangat pula. Cukuplah aku kata, aku tak mampu bercinta walaupun dalam hati teringin nak bercinta.
Selepas SPM, aku berkesempatan untuk belajar seketika di sebuah kolej swasta. Entah apa silapnya, aku kecundang pada rasa. Tapi, aku berani cakap depan-depan nak kenal. Dipendekkan cerita, akhirnya dia berpesan pada aku supaya gunakanlah orang tengah. Caraku itu tidak begitu menyenangkan. Bila aku tulis ini, tahulah aku ada sifat terpuji iaitu menghormati apa saja pilihan atau keputusan seorang wanita, yang aku mempunyai rasa suka. Maka aku hargai diriku yang ada rasa hormat dan tidak memaksa. Kini wanita yang sebaya ini sudahpun berkahwin. Alhamdulillah.
Masuk unisza, setiap zaman ada kisahnya. Cuma pada waktu master, di luar unisza memang ada orang nak kenal. Dia bagi nombor telefon tapi aku kata padanya, aku sudah berpunya. Walaupun begitu, dia juga kata nak berkawan. Namun syukurlah, Allah lindung aku. Cerita hanya sampai di situ.
Zaman diploma dan degree, itulah zaman yang dikatakan penuh dengan kenang-kenangan yang berbekas di hati. Sehingga kini, aku tak tahu apakah tidak lupa pada hal-hal yang lalu menjadi normal pada seorang lelaki?
Jika melihat setianya Almarhum BJ Habibie pada Ainun Besari, BJ Habibie juga menceritakan kisah cintanya pada seorang wanita ketika merantau di Jerman.
Jika melihat setianya Almarhum Hamka pada Siti Raham, Hamka juga menceritakan kisahnya yang tidak kesampaian dalam biografinya “Kenang-kenangan Hidup”, dan pengaruh kepada roman-romannya.
Mungkin, satu hari aku akan berbuat begitu? Aku tak tahu. Aku membayangkan raut wajah tunangku dan isteriku kelak apabila membaca catatan-catatan kenang-kenangan ini. Cemburu yang dalam. Bagiku, itu perkara biasa di dunia.
Semasa pertengahan diploma, aku mendapat personal message di facebook, dari seorang rakan satu batch dari diploma syariah. Sebaya juga. Dia menyampaikan hasratnya. Aku pada ketika itu hendak memberikan tumpuan pada kerjaku iaitu belajar. Tapi, aku juga mencuba agar dipermudahkan urusan taaruf dengan berjumpa pada ahli keluarganya secara berdepan. Namun, dia pergi kerana katanya tak nampak wajahku dalam istikharahnya. Sekarang aku tak tahu apa cerita kerana mungkin dia sudah block aku. Aku tak kisah hal itu, anggap saja masa yang berlalu.
Akhir diploma, aku jatuh pada rasa suka pada seseorang kawanku. Aku cuba aplikasikan apa yang dipesan oleh rakanku yang semasa di kolej swasta sebelum itu, iaitu melalui orang tengah. Aku minta supaya seorang kawanku (lelaki) yang rapat dengannya supaya tanyakan dia. Aku terbuka dengan segala jawapannya walaupun dalam hati, aku tertanya kenapa aku ada rasa suka padanya.
“Alhamdulillah.”
Masa berlalu. Semasa pertengahan degree, aku sekali lagi jatuh pada rasa. Ada beberapa orang dan masing-masing ada kisah yang tersendiri. Ada yang memberi bekas, ada juga yang dianggap hanya masa lalu, tapi aku hargai pengalaman itu. Ada juga yang tiba-tiba block aku setelah aku bertanya pada ibuku perihal seorang kawanku - yang pernah travel ke luar negara bersama-sama ibuku - bahawa dia minta aku tolong carikan pasangan hidupnya. Ibuku bertanyakan kepada ibunya apakah diriku pantas untuk dijadikan suami untuknya. Namun sejak lama tiada khabar berita, ibuku katakan padaku bahawa dia melangsungkan perkahwinannya pada seseorang jejaka. Alhamdulillah.
Setelah berapa kali berpatah hati(?), aku kini bertemu sesorang yang sudi. Apa cerita dan bagaimana, aku takkan ceritakan di sini. Apa yang aku hargai bukanlah hanya pada kesudian dan sokongan kepadaku, tetapi, aku menginsafi dapat bertemu dengan orang tuanya, ahli keluarganya depan-depan, dan mereka juga suka kepadaku. Begitu juga kedua orangtuaku. Tetapi...
Tetapi saat-saat aku diizinkan Allah bertemu dengan ahli keluarganya, aku menangis terkenangkan beberapa kegagalanku terhadap rasa suka. Aku sering tertanya apakah aku bersalah kerana rasa suka... aku terkenang seketika pada respons penolakan orang yang pernah aku suka.. pada itulah aku selalu menginsafi diri atas kesabaranku terhadap beraneka ragam kehidupan. Namun..
Namun hati ini masih ada bekas-bekas yang mungkin, aku perlu ditonyoh-tonyohkan agar bersihnya daripada rasa-rasa yang tak perlu. Tetapi tahukah aku, pada setiap kejadian yang berlalu, aku menginsafi akan harga diri seorang wanita. Sama ada aku akan ceritakan dalam berbagai karyaku, atau mungkin aku tak sempat untuk mencoretkan, biarlah segala yang terjadi, menjadikan aku untuk menghargai setiap wanita di dunia.
3. Ada beberapa hal hati seorang lelaki yang aku ingin kongsi.
Pertama, banyak wanita yang lawa di matanya. Tetapi yang berjodoh, hanya seorang atau mungkin, siapa yang tahu. Di dunia ini, Allah hiasinya dengan wanita. Kata Nabi (jika salah, betulkan) sebaik-sebaik perhiasan adalah wanita-wanita solehah. Walaupun agama kita benarkan poligami, tetapi diri ini sedar atas kemampuan diri. Aku sentiasa katakan, dan berpesan padaku bahawa jika aku berpoligami, bermakna aku berlaku zalim. Ketika ini, aku melihat aku seorang yang tak mampu untuk berkahwin lebih dari satu. Aku mengamati kisah hidup dan derita Buya Hamka akan pengalamannya ketika kecil, ayah kahwin lain dan cerai ibu kandungnya, ibu kandungnya kahwin lain.. semua ini beri kesan padanya. Namun catatan ini hanyalah untuk memperkeraskan diriku agar menghargai ibu, ahli keluarga, dan isteri yang Allah kurniakan kepadaku..
Kedua, kelembutan yang ada pada wanita itu, menyenangkan kami. Zaman yang makin berlalu ini, aku menyaksikan wanita-wanita bangkit memperjuangkan dan mempertahankan hak dan harga diri. Aku hanya bahagikan hal ini pada dua bahagian, yang mana hanya satu sahaja aku sentiasa pandang positif:
Pejuang wanita yang menyedarkan wanita sepatutnya mendapat pendidikan, dan lain-lain hal yang dipandu syarak. Hanya itu positif.
Selainnya apabila perjuangan wanita yang hanya bersifat mengikut telunjuk nafsu, maka awaslah... mungkin kalian tak nampak jalan penyelesaian dan penghujung yang terbaik..
Penutup:
Hanya di syurga sahaja, segala kegelisahan dan derita akan sirna seolah tidak pernah terasa. Ingatan untuk diriku bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan untuk menuju ke akhirat. Maka, hargai dan sayangi, serta belajar dan mengingatkan diri sendiri agar menghormati, dan memberi khidmat serta kasih sayang yang terbaik pada perempuan, pada wanita, pada ibu, pada nenda, pada bidadari...
Eusoff Amiruddin,
Menjelang usia 26 tahun.
Alor Gajah, Melaka.