bismillah..
Allah subhanahu wa ta'ala menyuruh kita berhukum dengan suruhan dan larangan Allah, dalam al Quran.
Kerana apa Allah menyuruh kita semua mengikut al Quran? Kerana segala suruhan dan larangan Allah yang terkandung dalam wahyu bertepatan dengan fitrah manusia, dan juga alam!
Fitrah manusia, dan fitrah alam ini semuanya kita dapat lihat dan merasai hikmah di sebalik suruhan dan larangan Allah, buat orang-orang yang berfikir.
Allah menyuruh kita menunaikan solat lima waktu, bukan semata-mata Allah suruh, bahkan Allah tahu tabiat dan fitrah manusia itu sendiri. Di sebalik 24 jam kehidupan seharian yang dihitung, apakah keresahan, kelelahan, kesedihan, kepenatan, rasa rendah diri yang bersangatan langsung tidak manusia lalui? Dengan rahmat Allah, Allah fardhukan solat lima waktu kepada kita untuk berehat seketika dari segala masalah dunia, sebagai tempat untuk mengadu dan meminta pertolongan dari Pencipta manusia, melepaskan kelelahan daripada kepedihan jiwa dalam menghadapi cabaran duniawi.
Apa yang akan terjadi sekiranya manusia tidak solat? Sudah tentu akan ada waktu-waktunya manusia akan melepaskan kelelahan dengan cara yang melanggari fitrah, seperti berhibur dengan hiburan melampau-lampau. Jiwa manusia akan penat, penat yang amat sangat. Ditambah lagi dengan perbuatan yang melanggari fitrah, sudah tentu ia akan menambah lagi kepenatan jiwa. Jika jiwa tidak berehat dengan mengikut fitrah, sudah tentu lama kelamaan, jiwa akan rosak dan mati.
Allah tahu tabiat manusia. Allah tahu apa yang terjadi jika manusia melanggar fitrahnya. Bukan sahaja jiwanya tidak tenang dan cenderung melakukan kerosakan kepada alam ini, bahkan ia mempengaruhi kesihatan tubuh yang tidak berhenti berkhidmat kepada nyawa kita.
Renungan saya ini mengingatkan saya kepada salah satu firman Allah yang menceritakan tentang tabiat manusia:
۞ إِنَّ الإِنسانَ خُلِقَ هَلوعًا
"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -
"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -
إِذا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزوعًا
Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah;
Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah;
وَإِذا مَسَّهُ الخَيرُ مَنوعًا
Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;
Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;
إِلَّا المُصَلّينَ . الَّذينَ هُم عَلىٰ صَلاتِهِم دائِمونَ
Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang - Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya;" (Al-Ma'aarij 70:19-23)
Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang - Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya;" (Al-Ma'aarij 70:19-23)
Dan ayat-ayat seterusnya menyatakan perihal ciri-ciri orang yang mengerjakan solat.
Antara contoh yang lain, Allah memerintahkan agar nafsu yang ada dalam diri kita disalurkan dengan saluran yang betul. Allah melarang manusia melakukan zina dan onani dan menyuruh untuk berkahwin (hukum berkahwin adalah sunat yang dituntut - that means 'urgent' tapi tidak sampai kepada dhorury, bergantung kepada situasi seseorang) kerana melakukan zina dan onani akan menatijahkan kerosakan pada diri, dan alam ini, sekaligus melanggar fitrah manusia dan alam ini. Allah menyuruh kita berkahwin agar nafsu kita yang Allah jadikan dapat disalurkan dengan menepati fitrah kejadian manusa dan alam, iaitu bukan sahaja meramaikan umat manusia untuk mensejahterakan alam ini, bahkan memberikan ketenangan jiwa kepada fitrah manusia yang cenderung untuk berpasangan dan memberi.
Sebuah contoh lagi, adalah hikmah yang terkandung jika melaksanakan hukuman jenayah berpandukan wahyu. Apabila kita amati, hukum yang terkandung dalam wahyu adalah berbentuk pengajaran, bukan penyiksaan. Seperti hukuman sebatan terhadap pesalah zina ghair muhsan, perlaksanaan hukuman ini yang disaksikan orang ramai akan menimbulkan rasa insaf, juga dengan cara penyebat melakukan sebatan dengan tidak meninggikan tangan untuk sebat. Hal ini yang demikian bertepatan dengan fitrah manusia yang Allah cipta, iaitu menimbulkan rasa malu hendak berbuat jahat. Syarak juga telah menjelaskan dengan terperinci bagaimana hendak mensabitkan sesuatu kesalahan sebelum menjalankan hukuman. Inilah keadilan Islam, datangnya syarak selari dengan tuntutan fitrah manusia dan alam ini yang Allah cipta.
Demikianlah antara contoh mengapa Allah ta'ala menyuruh kita berhukum dengan hukuman-Nya - mematuhi perintah dan larangan-Nya yang terkandung dalam wahyu. Segala hukum syarak dijadikan agar manusia dapat menjalani kehidupan bertepatan dengan fitrah manusia yang suci, yang Allah cipta. Menegakkan syarak dari sekecil-kecil individu daripada sekecil-kecil bab toharoh, hinggalah ke sebesar-besar perundangan, semuanya adalah untuk memberi keseimbangan kepada alam ini. Jika manusia enggan mengikut hukum-Nya, maka terzahirlah ketidakstabilan alam ini sepertimana yang kita lihat sekarang.
Mudah-mudahkan kita semua dapat menegakkan syariat di dalam diri kita semua. Bermula dengan diri, insyaAllah alam ini tertegak seimbang dengan manusia-manusia yang berusaha mensejahterakan alam dengan fitrah, dikala kerosakan yang berlaku kerana segolongan yang mahu mengubah fitrah yang Allah jadikan. Amin.
No comments:
Post a Comment