Tuesday, 23 October 2018

Pujuklah hati untuk menerima, hai manusia

bismillah...
dalam hidup, mungkin ada perkara yang tidak sepatutnya berlaku pada kita, tapi terjadi. namun yang terjadi sebenarnya adalah perkara normal dalam manusiawi. walaupun kita rasa tak patut berlaku - kerana status kita yang dilihat sebagai orang 'alim' dan baik, tapi walauapun, kita perlu terima - yang berlaku pada diri kita adalah normal, walaupun agak berat untuk diterima pada diri kita (lebih-lebih lagi orang yang kenal kita dari 'luaran' dan masyarakat sekeliling).
ada dua contoh yang saya hendak kongsikan, berdasarkan pengalaman dari riwayat hidup kawan-kawan:
pertama, seorang budak usrah ada minat pada seorang muslimah. pada masa yang sama, dia diingatkan tentang bahayanya 'bermain hati' pada ajnabi. bila melihat pada dirinya, dirinya tidak patut buat begitu, tidak patut memulakan ikhtilat dengan seseorang. apatah lagi dia ada mad'unya, ramai ikhwah yang mengenalinya. sang budak usrah itu pun down, kerana dia fikir perkara itu tak patut berlaku pada dirinya kerana dia sepatutnya fokus kepada tujuan utamanya iaitu gerak kerja dakwah.
pada awalnya, dia berat untuk terima. dia down sangat. bersalah sangat sampai dianggap dia patut dihukum. lama kelamaan - jika dia sabar - dia akan terima bahawa itu adalah naluri manusiawi. inilah normal yang terjadi kepada sesiapapun. dia akan terima bahawa dirinya tak bersalah, orang yang dia minat pun tidak bersalah. rasa suka bukan kita yang minta pun. ia datang dengan sendirinya. dengan ilmu dan minda yang terbuka, tiadalah low self esteem yang melampau apatah lagi dendam kesumat terhadap orang yang dia minat, kerana terima bahawa perkara ini normal dalam hidup manusia.
normal lah orang ada rasa suka, kena la terima. namun ada guidance-nya: nak pinang atau nak tolak pinangan. sebab Allah yang cipta. kan?


kedua, seorang yang dikenali dengan kealiman dan kewarakkannya, namun pada masa yang sama, dia berterusan melakukan dosa-dosa yang tidak terjangkau oleh fikiran orang biasa. zaman sekarang dengan maklumat di hujung jari, sangat mudah untuk mengakses yang cenderung kepada dosa-dosa besar. dia tidak melakukan dosa itu ketika di keramaian, di tengah kawan-kawannya, apatah lagi masjid. dia melakukan dosa-dosa yang luar daripada anggapan orang terhadapnya apabila berseorangan, dan dia rasa bersalah yang amat - kerana seorang yang dekat dengan ilmu agama tidak sepatutnya berbuat sedemikian, lalu dia bertaubat, berjanji pada diri tidak mahu ulangi lagi. namun keesokannya, nafsunya naik, dia berperang pada diri, dan tewas lagi kepada nafsu, lalu bersalah yang amat sangat dan taubat. 3 hari selepasnya, nafsunya naik, berperang, dan tewas lagi. setiapkali kenang dosanya - dimana-mana tempatpun - dia sangat down kerana menipu diri dan orang lain.
contoh kedua ini, orang yang tahu dirinya belajar ilmu agama, perlu sentiasa sedar bahawa setiap anak Adam itu sentiasa melakukan dosa, sebagaimana sabda Baginda:
كلّ بني آدم خطاءون...
"Setiap anak Adam sentiasa melakukan kesalahan..."
perhatikan matan hadith ini, mengapa Baginda berkata "khottoo' uun" bukan "khottoo' iin"? kerana khotto' uun menunjukkan memang anak Adam tabiatnya sentiasa mengulangi kesalahan dosanya.
...وخير الخطّائين التوّابون
"..dan sebaik-baik pendosa ialah orang yang bertaubat."
perlu diingat, apabila bertaubat, lalu terdetik niat hendak melakukan dosanya lagi - seperti hari ini aku taubat, tiga hari lagi aku buat balik - maka itu bukanlah dinamakan taubat. kerana syarat taubat adalah berjanji untuk tidak mengulangi dosa. seolah-olah dia hendak mati dalam keadaan dia tidak mengulangi dosa - walaupun tidak tahu, apakah keesokan hari dia ulangi dosa yang sama lagi.
dia perlu sedar, sealim sewarak manapun, normal bagi anak adam dia sentiasa ulangi dosa.
ustaz Nouman Ali Khan hafizahullah dalam satu perkongsiannya, masalah orang yang baik tapi sentiasa mengulangi dosa-dosa besar, perlu dilihat dari dua aspek:
iaitu
psikologi, dan
spiritual
sebahagian daripada spiritual, saya sudah kongsikan sedikit tadi.
secara psikologi, chemical dalam otak kita ada saja berkehendak yang amat sangat untuk berbuat sesuatu yang menyenorokkkan. seperti menonton bahan lucah (kerana sudah ketagih), perasaannya menjadi kuat untuk memuaskan nafsunya. lalu dicapai komputer riba, atau telefonnya untuk memuaskan nafsunya.
di sini, beliau menasihati orang yang mendengar dan dirinya, bahawa perbuatan dosa besar yang berterusan itu mesti kita HENTIKAN. TO STOP. untuk hentikan, perlu untuk kita tahu dan kenalpasti, waktu bilakah dan keadaan apakah kita selalu cenderung untuk melakukan maksiat. letaklah phone kita ke dapur, biar mak ayah nampak. jangan bawa phone dalam bilik. mintalah consultation, support dari orang yang kita percaya... walaupun agak memalukan kita, tapi untuk memanifestasikan taubat, adalah dengan berusaha. manusia takkan hidup seorang diri, dia perlu support daripada orang lain.
jadi kesimpulannya, dua perkara ini, iaitu rasa suka kepada ajnabi, dan berterusan melakukan dosa dan maksiat adalah normal manusiawi yang perlu diterima, walau sebaik manapun seseorang itu. normal juga bila ada rasa bersalah melakukan sesuatu keburukan. namun kita tidak boleh menghalalkan perbuatan yang haram dengan alasan normal manusiawi, kerana setiap yang Allah larang, ada sebab dan tujuannya. walau seberat manapun dosa yang dibuat, kita kena akui bahawa itulah dosa, tidak boleh redha dengan perbuatan dosa yang dilakukan. taubat dengan sebenar-benar taubat, perlu dilakukan dengan usaha, usaha yang berterusan, agar dengan usaha yang berterusan, tidak lagi komited jatuh dalam lubang yang sama. mudah-mudahkan kita digolongkan oleh Allah di kalangan orang-orang yang bertaubat.
jangan mengalah. taubat, usaha, taubat, usaha, taubat, sampai mati.
eusoff amiruddin
23.10.2018
petang selasa.
.
#alamtertegakdengankebenaran

Mengapa manusia perlu ikut al Quran?

bismillah..

Allah subhanahu wa ta'ala menyuruh kita berhukum dengan suruhan dan larangan Allah, dalam al Quran.
Kerana apa Allah menyuruh kita semua mengikut al Quran? Kerana segala suruhan dan larangan Allah yang terkandung dalam wahyu bertepatan dengan fitrah manusia, dan juga alam!
Fitrah manusia, dan fitrah alam ini semuanya kita dapat lihat dan merasai hikmah di sebalik suruhan dan larangan Allah, buat orang-orang yang berfikir.
Allah menyuruh kita menunaikan solat lima waktu, bukan semata-mata Allah suruh, bahkan Allah tahu tabiat dan fitrah manusia itu sendiri. Di sebalik 24 jam kehidupan seharian yang dihitung, apakah keresahan, kelelahan, kesedihan, kepenatan, rasa rendah diri yang bersangatan langsung tidak manusia lalui? Dengan rahmat Allah, Allah fardhukan solat lima waktu kepada kita untuk berehat seketika dari segala masalah dunia, sebagai tempat untuk mengadu dan meminta pertolongan dari Pencipta manusia, melepaskan kelelahan daripada kepedihan jiwa dalam menghadapi cabaran duniawi.


Apa yang akan terjadi sekiranya manusia tidak solat? Sudah tentu akan ada waktu-waktunya manusia akan melepaskan kelelahan dengan cara yang melanggari fitrah, seperti berhibur dengan hiburan melampau-lampau. Jiwa manusia akan penat, penat yang amat sangat. Ditambah lagi dengan perbuatan yang melanggari fitrah, sudah tentu ia akan menambah lagi kepenatan jiwa. Jika jiwa tidak berehat dengan mengikut fitrah, sudah tentu lama kelamaan, jiwa akan rosak dan mati.
Allah tahu tabiat manusia. Allah tahu apa yang terjadi jika manusia melanggar fitrahnya. Bukan sahaja jiwanya tidak tenang dan cenderung melakukan kerosakan kepada alam ini, bahkan ia mempengaruhi kesihatan tubuh yang tidak berhenti berkhidmat kepada nyawa kita.
Renungan saya ini mengingatkan saya kepada salah satu firman Allah yang menceritakan tentang tabiat manusia:
۞ إِنَّ الإِنسانَ خُلِقَ هَلوعًا
"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -
إِذا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزوعًا
Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah;
وَإِذا مَسَّهُ الخَيرُ مَنوعًا
Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;
إِلَّا المُصَلّينَ . الَّذينَ هُم عَلىٰ صَلاتِهِم دائِمونَ
Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang - Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya;" (Al-Ma'aarij 70:19-23)
Dan ayat-ayat seterusnya menyatakan perihal ciri-ciri orang yang mengerjakan solat.
Antara contoh yang lain, Allah memerintahkan agar nafsu yang ada dalam diri kita disalurkan dengan saluran yang betul. Allah melarang manusia melakukan zina dan onani dan menyuruh untuk berkahwin (hukum berkahwin adalah sunat yang dituntut - that means 'urgent' tapi tidak sampai kepada dhorury, bergantung kepada situasi seseorang) kerana melakukan zina dan onani akan menatijahkan kerosakan pada diri, dan alam ini, sekaligus melanggar fitrah manusia dan alam ini. Allah menyuruh kita berkahwin agar nafsu kita yang Allah jadikan dapat disalurkan dengan menepati fitrah kejadian manusa dan alam, iaitu bukan sahaja meramaikan umat manusia untuk mensejahterakan alam ini, bahkan memberikan ketenangan jiwa kepada fitrah manusia yang cenderung untuk berpasangan dan memberi.
Sebuah contoh lagi, adalah hikmah yang terkandung jika melaksanakan hukuman jenayah berpandukan wahyu. Apabila kita amati, hukum yang terkandung dalam wahyu adalah berbentuk pengajaran, bukan penyiksaan. Seperti hukuman sebatan terhadap pesalah zina ghair muhsan, perlaksanaan hukuman ini yang disaksikan orang ramai akan menimbulkan rasa insaf, juga dengan cara penyebat melakukan sebatan dengan tidak meninggikan tangan untuk sebat. Hal ini yang demikian bertepatan dengan fitrah manusia yang Allah cipta, iaitu menimbulkan rasa malu hendak berbuat jahat. Syarak juga telah menjelaskan dengan terperinci bagaimana hendak mensabitkan sesuatu kesalahan sebelum menjalankan hukuman. Inilah keadilan Islam, datangnya syarak selari dengan tuntutan fitrah manusia dan alam ini yang Allah cipta.
Demikianlah antara contoh mengapa Allah ta'ala menyuruh kita berhukum dengan hukuman-Nya - mematuhi perintah dan larangan-Nya yang terkandung dalam wahyu. Segala hukum syarak dijadikan agar manusia dapat menjalani kehidupan bertepatan dengan fitrah manusia yang suci, yang Allah cipta. Menegakkan syarak dari sekecil-kecil individu daripada sekecil-kecil bab toharoh, hinggalah ke sebesar-besar perundangan, semuanya adalah untuk memberi keseimbangan kepada alam ini. Jika manusia enggan mengikut hukum-Nya, maka terzahirlah ketidakstabilan alam ini sepertimana yang kita lihat sekarang.
Mudah-mudahkan kita semua dapat menegakkan syariat di dalam diri kita semua. Bermula dengan diri, insyaAllah alam ini tertegak seimbang dengan manusia-manusia yang berusaha mensejahterakan alam dengan fitrah, dikala kerosakan yang berlaku kerana segolongan yang mahu mengubah fitrah yang Allah jadikan. Amin.
22.10.2018
malam selasa.
#alamtertegakdengankebenaran