Tuesday, 20 December 2016

Frust? Jangan undur dulu!

Bismillah. Alhamdulillah, selawat dan salam kepada Rasulillah (lam baris bawah sebab selepas huruf jarr), keluarga serta para sahabat Baginda, serta orang-orang yang terawal mengikutinya.

A'mma Ba'd.

kalau give up, selepas ini apa? [kredit gambar]


Syukur Alhamdulillah, masih lagi hidup dalam nikmat Islam dan Iman, masih lagi duduk bersama-sama sahabat-sahabat yang memproseskan diri mereka menjadi hamba Allah yang taat, lagi berkualiti. Walaupun ada yang pergi (kerana frust nampaknya), tetapi dakwah di bumi ini tak sesekali berhenti dan pergi, seperti perginya mereka yang pergi.

Sudah sampai ke penghujung semester tiga. Bahkan lebih besar lagi adalah, tibanya penghujung tahun dua ribu enam belas (2016). Hujung semester dah (bukan sem akhir, ya). Hujung tahun, hujung bulan pun sudah (lebih kurang 10 hari lagi 2017 muncul). Allahu, masih banyak lagi kelemahan dan tanggungjawab yang belum terlaksana!

Saya teringat satu 'quote' ini: "حاسبو أنفسكم قبل أن تحاسبو" (Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung - di akhirat kelak). "Rupanya sudah bulan dua belas." Hati saya berbisik, bahkan lebih terusik bila mengenangkan apa yang saya telah habiskan sepanjang tahun ini.

Sebelum masuk kepada perbincangan saya mengenai tajuk ini, suka saya untuk membentangkan tanggungjawab-tanggungjawab utama yang sedang saya galas ini (sama ada saya minta ataupun tidak) agar dapat saya 'memukul' diri saya, bangunkan diri yang lalai ini.

1. Abid dan Khalifah, yang mendapat kefahaman, yang sepatutnya menjalankan tugas dengan baik di medan amal - sebuah universiti Islam di Kuala Nerus.

2. Mahasiswa ISM Qiraat Semseter Dua dan Tiga, yang sepatutnya menjaga hafalan daripada lupa, dan menjadi qudwah kepada mad'u-mad'u dan masyarakat sekeliling terutamanya.

3. Mas'ul (orang yang dipertanggungjawabkan - rujuk Hadis 2 Arbai'n Nawawiyyah) Rumah Ikhwah, sebuah rumah yang kami sewa untuk tujuan dakwah di medan amal.

Ketiga-tiga tugas ini, saya mengakui gagal membuat yang terbaik...gagal berusaha sedaya:

1. A'bid - berperanan meningkatkan kualiti amal, tetapi masih tidak seperti A'bid sang penghafal Al-Quran walaupun berkali-kali senaraikan mutabaah amal, dan jahiliah yang masih... tidak berkurang. Lebih menyedihkan tawakkal pada Allah berkurang - doa pun ringkas dan nak cepat. Khalifah - sepatutnya sekarang sudah ada mad'u yang menjadi mutarabbi, yang komited dengan tarbiah, tetapi tiada seorang pun mutarabbi yang di bawah asuhan saya sendiri, hingga 'menumpang' ikhwah lain untuk mengasuh mutarabbi-mutarabbinya.

2. Mahasiswa Qiraat - berperanan menjaga hafalan Al Quran, tetapi asyik tiada mood untuk ber-tilawah dan murajaah. Mengapa begitu...? Kerana dosa-dosa aku yang menggunung, atau ego-ku yang melangit? Allah. Qudwah? Masuk ke kelas lambat, menghantar tugasan dengan cara yang tidak berkualiti... Inikah aku yang sepatutnya?

3, Masu'l RI - berperanan untuk menghidupkan bi'ah (dan saya yang cadangkan diri saya mengambil alih kepimpinan ini), tetapi tidak menunjukkan peranan dalam meng'hidup'kan setiap ahli rumah dengan sifat Ihsan, (saya) masih emo, zhonn, dan... ego terhadap ahli yang lain? Bagaimana keadaan isteri saya kelak andai masih marah-marah kerana mood tak baik semata? Hmm, jauh lagi perjalanan, usah asyik berangan.

Yup, na'am. Saya gagal lagi. Dua tahun lepas pun saya ada tulis kegagalan saya juga dalam blog ini. Blog luahan kan? Emm.

Apapun, saya menulis entri ini adalah untuk memberi harapan kepada saya sendiri terutamanya, dan para pembaca yang budiman agar untuk terus melangkah menapaki dunia ini, kerana sejuta kegagalan itu belum muktamad gagal andai ajal kita belum sampai kepada kehendak Tuhan.

Diriku, dan saudara saudari yang budiman.

Panjangnya perjalanan kehidupan ini. Suatu ketika saya ada membuka sebuah video tentang proses kejadian manusia yang berbentuk janin - dari pancaran air mani sehingga menjadi bayi yang cukup sifat dan bersedia untuk keluar ke alam dunia selepas sembilan bulan sepuluh hari, terlintas di fikiran saya bahawa, begitu banyaknya Allah nyatakan dalam Al Quran akan proses demi proses kejadian manusia, seperti dalam awal surah Al Hajj, Surah Al Mukminun, juga potongan-potongan ayat yang pendek dalam berbentuk istifham (pertanyaan). Seakan-akan, Allah berkali-kali memberikan ayat-ayat sebegitu untuk kita mengenang kembali, mengapa kita dihidupkan, dan masih kita hidup di atas muka bumi ini? Jika bukan dengan izin Allah, masakan kita dilahirkan, dan membesar di sini?

janin berusia 28 minggu. [kredit]

Proses kejadian manusia itu, pada saya adalah bermulanya sebuah perjalanan. Sembilan bulan dan sepuluh hari itu, bukan masa yang sekejap. Walau kita di dalam perut ibu itu kita tidak tahu apa itu dunia, tetapi proses demi proses kejadian manusia itu, semua terjadi dengan izin Allah! Ibu yang mengandungkan kita pun, tak mampu hendak mencantumkan daging, tulang dan darah yang mengalir dalam diri janin. Juga, sang ibu tak mampu memberi roh pada janin itu. Janin itu membesar dengan sihat dalam perut ibu sehingga dapat keluar ke dunia nyata. Maha Suci Allah. Semuanya terjadi atas kekuasaan Allah. Kun, fayakun.

Kita melalui zaman kecil, zaman kanak-kanak sehingga sekarang, mejadi belia remaja. Masa inilah kita katakan pada diri, "semuanya berlalu dengan pantas".

Kenangkah kita, akan episod-episod manisnya perjalanan kita semasa membesar sebagai seorang kanak-kanak? Dengan memori manis ini, terfikirkah bahawa Allah telah menurunkan sifat belas dan kasih sayang kepada ibu bapa kita, serta orang-orang yang menjaga dan mendidik kita?

Kenangkah kita, akan kesukaran demi kesukaran sepanjang perjalanan hidup kita? Dengan kesukaran yang kita lalui, mengapa masih kita hidup lagi? Pertolongan Allah. Ya. Survive-nya kita, kerana Allah tolong. Datangnya masalah dan musibah, kerana Allah juga hendak tolongi kita agar dinaikkan darjat. Tetapi, "sedikit sekali manusia yang bersyukur." Allah ulangi berkali-kali dalam Al Quran, tetapi kita yang berulang-ulang membaca Al Quran, sedikit sekali berfikir walau hanya sejenak.

Dewasa ini, kita telah menempuhi satu demi satu langkah, detik demi detik, cabaran demi cabaran, dan perubahan demi perubahan. Dengan langkahan itu, kita berkali-kali ditemukan dengan satu makhluk yang Allah cipta pada diri kita.

Makhluk itu bernama, kekurangan.

Umumnya, manusia dicipta adanya kekurangan seperti yang Allah kata dalam Al Quran, "وخلق الإنسان ضعيفا" (dan manusia diciptakan dengan kelemahan). Apa yang saya hendak fokuskan di sini adalah, sebahagian kekurangan yang kita ada itu membuatkan kita lemah, dan berputus asa - kerana anggapan kita pada kekurangan itu.

Untuk diriku, dan saudara saudari yang dikasihi,

Allah subhanahu wa ta'aala pilih kita untuk kita hidup di dunia ini, kerana Allah izin - seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Kita dibentangkan berbagai jalan, manhaj,... tetapi, Allah pilih kita sebagai seorang Muslim, sebagai seorang hamba-Nya, sebagai umat Rasul-Nya Muhammad 'Al-Mukhtar', dan... sebagai seorang dai'e! Ya! Umat Nabi Muhammad A'layhis solatu was salam sudahpun mendapat tugasan seperti tugasan para nabi dan Rasul. Kita dipilih untuk menyambung perjuangan yang ditinggalkan Kekasih kita alayhis solatu was salam. Kita diberi peluang untuk meraih ganjaran yang sangat besar berbanding umat-umat yang terdahulu, dan pengampunan Allah yang maha luas pengampunan-Nya!

Sejauh mana, kita meraih peluang ini?

Kita diberikan kefahaman demi kefahaman, peranan demi peranan. Kita sudahpun dan sedang mencuba melaksanakan peranan itu. Namun, berapa ramai yang sanggup bertahan? Adakah gugurnya mereka (dan kita juga) itu, kerana hanya sebuah kekurangan?

Bagaimana sikap kita, apabila menghadapi kekurangan-kekurangan itu? Hadapi dengan menguruskan kekurangan, atau lari?

"Matang adalah menerima hakikat bahawa hidup ini akan mati." Mafhum kalam Kak Fynn Jamal. Saya teringat kata-kata ini. Ya, pengakhiran kita adalah mati. Kematian adalah suatu makhluk yang misteri. Terfikir sejenak, bagaimana dengan perjalanan kita menuju mati?

Diriku, dan saudaraku yang dirahmati Allah,

Proses kita diciptakan itu, adalah suatu proses. Begitulah juga, menuju kematian itu adalah suatu proses. Ya, walaupun menuju mati itu tak sesingkat kita di dalam perut ibu, tetapi persamaannya adalah PERJALANAN. Walaupun menuju kematian itu adalah suatu perjalanan, kita yang mengaku beriman dengan hari akhirat sudah tentunya tidak akan katakan "perjalananku sudah berakhir di sini" ketika kita sudah sampai ajal. Kita akan tempuhi perjalanan yang seterusnya, yang lebih panjang, lebih jauh lagi dari kiraan usia kita di dunia. Itulah alam akhirat, yang menjadi destinasi sebenar seluruh umat manusia, sama ada di neraka, atau di syurga - mengikut perhitungan amalnya di dunia.

Seharian kita banyak mengeluh atas kekurangan kita. Remaja mengeluh kerana mencela dirinya "tidak matang" dan "masih budak-budak aku ni", Belia dan dewasa mengeluh kerana bebanan yang dirasainya, kerana kekurangannya. Diriku, saudaraku, apabila mengeluh, istighfarlah, Jangan menyesali kekurangan kita, kerana itulah anugerah Allah. Indahnya ciptaan Allah di muka bumi ini kerana setiap sesuatu itu diciptakan dengan berpasang-pasangan. Kejadian siang dan malam, cuaca yang cerah dan hujan, tumbuhan yang menyedut udara dari manusia itu, adalah sunnatullah yang menjadikan alam ini indah dan seimbang. Kekurangan yang kita ada itu, dilengkapi oleh manusia lain, yang kita dipertemukan saat-saat yang lalu, yang sedang kita lalui, bahkan akan datang nanti. Kekurangan manusia lain, akan kita lengkapkan ia dengan kelebihan yang ada pada kita.

Oleh itu, janganlah mengalah dengan kehidupan ini - kehidupan dakwah. Kerana iman naik dan turun itu suatu proses, Kita bukanlah malaikat yang imannya sentiasa stabil. Hatta Baginda sallallahu a'layhi wa sallam pun mengingatkan para sahabat yang mengadu pada baginda kerana lemahnya iman saat mereka tiada di sisi Baginda; "seandainya iman kamu sentiasa naik, malaikat akan turun bersalam dengan kamu."

Indahnya ciptaan manusia, buat orang-orang yang berfikir. Kerana pada sesebuah kejadian Tuhan itu, terbitnya inspirasi dan harapan kita untuk terus hidup sebagai hamba-Nya, berbudi kepada alam dengan penuh Ihsan, dan terus berusaha mengembalikan yang hak pada tempat yang sepatutnya.

Sekian,
E.A Osman
4:34PM
20 Disember 2016
.



Saturday, 8 October 2016

Hijrah dan Kehidupan

Bismillah, Puji-pujian hanyalah untuk Allah, selawat dan salam buat junjungan al-Mustafa serta para sahabatnya dan para pengikutnya yang setia. 

Amma ba'du.

kredit gambar: https://goo.gl/images/CWw6AR
Alhamdulillah, sudah hampir seminggu bulan Muharram tahun 1438 Hijriyyah. Syukur kepada Allah kerana Allah hidupkan kita dalam nikmat Iman dan Islam, yang tidak lain dan tidak bukan hanyalah bertujuan untuk memperbaiki diri yakni islah diri, dan memberi kebaikan pada manusia lain dengan berdakwah. Yang menulis ini masih sihat, mata masih mampu melihat dan membaca, akal masih mampu menafsir segala apa yang dirasai oleh pancaindera yang masih berfungsi dalam merefleksi diri - apakah aku masih dan makin bersyukur atau... masih ragu dan makin ingkar kepada Allah yang memberikan aku kehidupan?

Di sini, saya mencoret sedikit pandangan yang kerdil ini mengenai Hijrah menurut kaca mata saya, selepas terilham atas perbuatan saya bersama sahabat-sahabat ketika melaksanakan agenda dakwah, pada suatu malam. Di mana pada malam itu, sahabat saya bersama mad'u nya yang baru di-lasso/dipikat menyertai sembang santai mengenai Hijrah di sebuah surau, di mana pada program itu menyasarkan pelajar-pelajar degree yang baru masuk, tetapi yang datang, hanya dua orang. Syukur Alhamdulillah. Tipulah kalau ramai yang kami ajak ini, mereka tidak datang, kami tak terasa apa-apa. Manusia, kan? Tapi ada Iman, ada lah sabar. Ada sabar, dan penuh percaya, ada lah Iman.

Ketika penyampai itu memberi pengisian santainya tentang Hijrah, saya terkenang pada kehidupan saya sebelum menjejakkan kaki ke universiti ini. Apa yang saya kenangkan adalah perubahan pandangan saya mengenai kehidupan, secara berperingkat. 

Sebelum menjejakkan kaki ke universiti, saya memandang kehidupan ini, adalah dengan berusaha semata-semata. Bila belajar dengan bersungguh-sungguh, dapat keputusan baik, dapatlah masuk universiti, belajar tinggi-tinggi bagi menyumbang kepada masyarakat kelak. Berjuang pun, hanya sekadar menyampaikan kebenaran - yakni dakwah (pada masa itu saya melibatkan diri dalam Dakwah dan Tabligh, semoga Allah merahmati mereka yang saya jumpa, suatu masa dahulu) kerana hendak merebut kelebihan-kelebihan berdakwah semata, tanpa mendalami lagi, apa sebenarnya hala tuju dakwah itu? Adakah hanya sekadar menyampaikan, tanpa mendalami lagi apa sebenarnya Islam hendak kita letakkan di atas dunia ini, atau sekadar hendak mengikut kehendak diri yang suka berjalan-jalan sana sini, melihat keindahan alam dan masyarakat tanpa membawa kepada ahsanu amala - sebaik-baik amal, atau makna dakwah hanyalah menjadi peribadi yang baik -  dakwah bil hal?

Dalam bidang al Quran pula, adakah menjadi al Hafiz itu, hanya sekadar menghafal dan mengulang, menghafal dan mengulang, menghafal dan mengulang sampai cair, masyi, dapat sijil syahadah al Quran? Sekadar membanggakan Ibu dan Bapak atau... menjadikan bidang ini hanyalah sebagai modal untuk mendapatkan pendapatan - jadi imam terawih berapa boleh bayar? Surau masjid mana yang boleh bagi upah lebih? Atau... hendak mendapatkan sanjungan masyarakat? Astaghfirullah.

Di universiti, saya menemui beberapa sosok yang menerangkan tentang makna kehidupan, menurut al Quran. Anehnya, dia yang menerangkan itu bukanlah berlatar-belakangkan pendidikan agama, seperti saya. Malu rasanya apabila sedari, bahawa selama saya menghafal al Quran ini, betapa banyaknya makna kehidupan yang saya tidak nampak dari al Quran itu...sendiri! Al Quran yang dijunjung atas kepada, disimpan dalam dada bukanlah semata-mata bermatlamatkan memberi syafaat kepada keluarga di akhirat kelak, tetapi lebih dari itu!

Al Quran, adalah kehidupan. Sebelum ini sedari bahawa, makna kehidupan (life) itu adalah study well, study smart, study hard, further studies, playing sports, watching movies, travelling, work hard, do what you love, married who someone your love, and died peacefully. Tetapi, bila datangnya insan yang menerangkan makna al Quran itu dalam kehidupan, pandangan saya mengenai kehidupan itu berubah sama-sekali. Ini yang menyebabkan saya terilham akan makna hijrah itu:

Titik tolak bermulanya Hijrah adalah, perubahan pandangan terhadap kehidupan. Dengan kehidupan, apa yang hendak kita bawa dari diri kita?
Jika pada zaman sekolah, memandang kehidupan adalah dengan cita-cita materialism itu kita menemukan survival hidup, di universiti, apakah pandangan kita terhadap kehidupan? Jika pandangan kita terhadap kehidupan itu masih malar, masih constant, apakah kita sudah mula berhijrah?

Di alam universiti, perubahan pandangan seseorang terhadap kehidupan itu adalah dengan memandang bahawa, kita perlu buat sesuatu untuk menghadap alam realiti kelak, yakni alam akhirat. Makna realiti itu, ada orang menafsirkan realiti sebagai realiti duniawi, sama ada di depan mata, atau melihat kehidupannya selepas alam belajar, yakni alam pekerjaan. Mereka bersiap-siap dengan segala macam teknik dan tips, serta berbisnes sana-sini sebagai bekal untuk menghadapi cabaran ekonomi yang mendatang.

Namun, al Quran itu datang menerangkan, apakah realiti itu. Realiti ini tidak lain dan tidak bukan adalah menghadapi alam akhirat kelak - alam yang kekal abadi, alam yang dijanjikan Allah kepada seluruh manusia dan jin dimana mereka akan mendapat pengadilan yang sesungguhnya, atas apa yang mereka usahakan di alam dunia.
"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)." (Surah al A'nkabut Surah 29 ayat 64)

Kehidupan dunia, hanyalah senda gurau semata, kalaulah kita tak berfikir, dan tidak cuba untuk memahami.

Dengan itu, di dunia ini, apakah kita sudah menemukan realiti itu?
"Dan kehidupan di dunia ini, tidak lain dan tidak bukan adalah permainan serta senda gurau. Dan demi sesungguhnya, negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidak mahukah kamu berfikir?" (Surah al An'am Surah 6 ayat 32) .
Apakah kita, akan mendapat tempat yang baik kelak, pada realiti itu?

Ayuhlah, wahai pembaca yang budiman, siapapun kita, semaklah kembali pandangan kita terhadap kehidupan. Kerana dengan pandangan kita itulah, akan menatijahkan segala perbuatan yang kita usahakan, selagi hayat di kandung badan.

Tahun hijrah kita setiap tahun berlalu. Usia penulis sendiri, sudah ke-21 kali genapnya tahun baru hijrah. Maka, apakah saya, kita, dan mereka... sudah berhijrah?

"Tepuk dada, tanya iman. Jangan tanya selera, selera tak sedap." - Ustaz Kamar Bin Hashim, 2005 Masihi.








Monday, 19 September 2016

3 Faktor Kembali Tsabat

Ada 3 faktor yang membuatkan saya kembali ke jalan Tarbiah dan Dakwah, menurut apa yang sudah saya lalui:

1. Murabbi
Kadangkala, diri seorang Mutarabbi (orang yang didakwah) perlukan perhatian dan tunjuk ajar darinya ketika ditimpa masalah. Saya sendiri pada waktu-waktu akhir dalam zaman diploma menghadapi tekanan dan kecelaruan yang berat. Murrabbi saya sudi mengorbankan masanya untuk duduk makan bersama-sama, dan mencatat segala masalah yang ada.

Ada satu kisah, saya ada mesej murabbi saya "saya ingin berehat seketika". Murabbi saya mungkin tersalah faham maksud "berehat" saya, kerana apa yang saya maksudkan adalah "memberikan saya masa untuk mencari cara dan kekuatan dalam selesaikan hubungan saya dengan Mad'u² saya pada ketika itu". Petang keesokkannya selepas bersemuka, beliau gugurkan saya, dan saya diam tak terkata. Hanya mampu tercengang dengan apa yang berlaku, dan lost. Pengalaman paling pahit.

2. Ikhwah
Ikhwah adalah teman sefikrah yang sama-sama berbuat dakwah. Seorang manusia biasa tidak mungkin dapat tahan dari apa yang dipendamkannya. Saya menceritakan apa yang terjadi pada diri saya kepada beberapa ikhwah, lalu diri saya menemukan kepada satu nasihat yang saya ingat sehingga kini:

" Berkeraslah pada diri sendiri, berlembutlah pada orang lain."

Alhamdulillah, ada ikhwah yang memberi support yang baik. Moga mereka tsabat bersama-sama.

3. Diri sendiri
Sedari kini, saya mengimbau sejak dulu lagi saya seorang yang kuat berkeinginan. Saya seorang yang tidak rasa sedap badan bila duduk diam. Saya suka merantau untuk mencari kebenaran, mencari diri. Sehari dua sejak saya digugurkan Murabbi, saya memandu kereta arwah datuk saya dari Gong Badak ke UKM Bangi untuk menghadiri bengkel (tapi seminar) penulisan di situ. Antara penyampainya ialah Ustaz Pahrol. Saat-saat sebelum meninggalkan UKM, ilham saya datang secara spontan untuk mengajukan pertanyaan kepada Ustaz Pahrol, dan saya berjalan kepadanya, menceritakan apa yang berlaku, bertanyakan apa yang patut saya buat.

"Kembalilah padanya. Serigala akan memakan kambing yang berseorangan." Jawab Ustaz.

Ya Allah, pandulah hatiku. Bukakanlah pintu hatiku. Lebih kurang itulah doa saya sepanjang perjalanan pulang ke Darul Iman.

...
Lalu apa yang terjadi?

Suatu petang, saya dapat mesej dari murabbi saya:

"Ana nak jumpa anta boleh? Kat kedai mee sup Tok Jembal."

Saya terima perlawaan itu.

Saya berjalan kaki dari asrama menuju ke kedai itu yang jauh sedikit dari UMT, kerana kereta saya dipinjam kawan.

Sampai di kedai, ada sosok yang saya kenal di celah-celah keramaian orang yang menjamah di situ. Berjumpa pula, lalu saya duduk, pegang kedua-dua tangannya, merayu padanya agar dikembali. Alhamdulillah, beliau kembalikan saya ke jalan TnD dengan syarat. Demikian itulah sambungan 'point' MURABBI sebagai faktor pertama saya tsabat dalam jalan dakwah sehingga kini.

Faktor-faktor lain mungkin adalah daripada sokongan dan dorongan berbentuk doa dari ibu dan bapa saya, serta orang-orang soleh yang saya jumpa atau tidak. Moga kebaikan untuk kalian jua.

Murabbi, Ikhwah, Eusoff...jazakumullah khairan kathiiran.

Monday, 22 August 2016

Subuh Terindah di Padang Panjang



Bila saya teringatkan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, terlintas di benak fikiran saya bahawa segala lahiriah yang kita tunjukkan dari diri kita adalah daripada sikap, tabiat kita selama ini.
Mungkin sebelum saya mengikuti kembara ‪#‎jejakhamka‬ pada Julai yang lalu, banyak lagi sisi-sisi lain dari diri saya yang belum saya sedar bahawa itulah diri saya yang sebenar, yang saya tidak begitu hargai pada diri sendiri.
Jakarta-Puncak-Bandung bersama famili, Oman-Haramain bersama Ibu dan Angah, usaha dakwah iman dan amal Sri Petaling-Kuala Kedah, menuntut ilmu di Kuala Terengganu, berkelana seorang diri di "Kota Singa", berulang-alik berprogram dari Terengganu ke Selangor,...
itulah permusafiran saya sebelum ini. Namun setakat mana saya dapat mengenali diri?
Yang membuatkan saya hendak mencatat memoir ini, adalah apabila mengenangkan peristiwa pada hari terakhir #jejakhamka ketika berada di Hotel Flamingo, Padang Panjang, pada waktu subuh.
Subuh itu adalah subuh terindah buat saya sepanjang 21 tahun saya dihidupkan dengan izin Allah Al Hayyil Qayyuum.
Malam sebelum hari terakhir kembara, kami bermalam di Hotel Flamingo, Padang Panjang. Urusetia kembara kami mengagihkan bilik kepada para peserta. Setiap bilik menempatkan dua orang peserta kembara. Saya ditempatkan di sebuah bilik bersama seorang Ustaz.
Dijadikan cerita, saya dan rakan sebilik berjaga beberapa minit sebelum masuknya waktu Subuh (saya tidak ingat siapa yang berjaga dahulu). Selepas saya menyegarkan diri, saya memaklumkan hasrat saya untuk keluar mencari masjid yang berdekatan untuk menunaikan solat Subuh berjemaah. Rakan sebilik saya juga menyatakan hasrat yang sama, tetapi beliau tidak dapat mengagak berapa jauh masjid yang berdekatan dengan hotel kami. Saya terus menawarkan diri untuk keluar mencari masjid berdekatan. Jika saya jumpa, saya akan memaklumkan melalui whatsapp. Beliau pun bersetuju.
Saya keluar melewati pintu utama hotel. Keadaan sedikit kelam namun dapat menghirup udara keheningan pagi yang sangat segar, udara negeri "Serambi Mekah" yang mendamaikan. Saya berjalan terus beberapa langkah hinggalah sampai ke suatu simpang tiga yang tidak jauh di hadapan hotel.
Di persimpangan itu, sayup-sayup kedengaran suara Sang Qari membaca al Quran seperti dari corong pembesar suara, di sebelah kanan. Barangkali di kawasan itulah masjid atau musolla berdekatan, fikir saya. Lantas saya berjalan berberapa langkah ke sebelah kanan.
Baru sahaja beberapa langkah, saya terlihat seorang muslimin dan beberapa orang muslimat berjalan bertentangan dengan saya, menuju ke arah persimpangan di sebelah kiri saya berdiri tadi. Saya hentikan langkah, badan dan kepala saya menoleh ke arah mereka. Saya teringat pesan Ibu: "Kalau awak tengah jalan mencari masjid tapi tak tahu di mana, ikut sahaja ke mana orang berkopiah (pakaian untuk menunaikan solat) itu pergi."
Saya berjalan mengikuti jejak langkah mereka. Lebih kurang 100 meter dari persimpangan tadi, terseragam indah sebuah masjid di hadapan saya. Ada sinar cahaya pada gemerlapan subuh. Saya puas kerana menjumpai apa yang saya cari. Syukur Alhamdulillah.



Saya mengeluarkan telefon saya, merakam sekeping dua gambar di luar masjid dan mengepilkan gambar-gambar ini, memaklumkan keberadaan masjid ini kepada rakan sebilik saya, melalui whatsapp. Beberapa saat selepas itu, masih belum kelihatan tanda-tanda beliau menerima atau membaca mesej saya.
Rasa puas menjadi pudar kerana saya belum menjalankan amanah dengan baik. Lantas saya 'foward'kan mesej-mesej saya ini kepada kumpulan whatsapp khusus untuk peserta kembara #jejakhamka, dengan harapan bahawa dengan usaha ini dapatlah dimaklumkan jua bahawa adanya masjid terdekat di hotel ini kepada rakan sebilik khususnya.
Azan Subuh berkumandang. Saya mengambil wudhuk dan menunaikan solat sunat tahyatul masjid dan qabliyyah subuh sekaligus usai azan berakhir. Apabila sang bilal melaungkan iqamah, saya perasan keberadaan Ustaz Pahrol bersama anaknya, yang juga sebaya dengan saya.
Usai menunaikan solat Subuh berjemaah, saya menolehkan kepala ke kiri dan ke kanan, mencari rakan sebilik saya. Tiada. Barangkali beliau sudah keluar lebih awal atau solat di masjid lain.
Setelah selesai berzikir dan berdoa, saya keluar dari masjid ini, dengan tidak keseorangan. Saya berjalan keluar bersama-sama Ustaz Pahrol dan anak lelakinya, menuju destinasi yang sama, iaitu kembali ke hotel.
Berjalan dengan anak beranak ini sambil menghirup udara Subuh yang segar merupakan suatu memori indah yang akan saya kenang sampai bila-bila. Kerana di sinilah berlakunya suatu peristwa yang saya tidak pernah bermimpi, saya dilayani sebegini.
"Saya juga hendak keluar solat berjemaah di masjid," Ustaz Pahrol memulakan cerita.
"Saya tanya kepada receptionist hotel tadi, adakah ada masjid terdekat di sini? Jawabnya, masjid dari sini jauh (kedengaran seperti amat jauh)."
Saya terkesima sebentar.
"Rupanya takrifan "jauh" di sini lain ya. Alhamdulillah saya baca mesej dalam 'group' tadi."
Saya bersyukur dalam hati. Walau niat saya untuk membantu rakan sebilik saya, tapi saya tidak menyngka dengan cara saya menghebahkan kepada 'group' tadi dapat membantu mukminin yang lain.
"Nak, berhenti sekejap, kita ambil gambar. Adik (panggilan Ustaz Pahrol untuk anaknya), ambilkan gambar Ayah dengan Yusof."
Saya tersenyum, perlahan-lahan melebarkan lagi senyuman sehingga nampak gigi yang bersusun. Rasa dihargai. Saya terharu, diam seribu kata, tidak tahu hendak memberikan respons yang macam mana.
Setelah itu, kami terus berjalan, sambil menghirup udara pagi yang segar.
Pada kesempatan itu juga saya berkongsi cerita mengenai Subuh saya di Maninjau, beberapa hari lepas. Semasa saya berjalan menuju ke musolla berdekatan tempat penginapan, pada suatu simpang yang betul-betul di hadapan musolla, saya terlihat sekumpulan anak muda sedang duduk-duduk di sebuah pondok, sedangkan pada waktu itu solat Subuh di musolla sedang berjalan.
Adakah pemuda-pemuda ini sudah menunaikan solat Subuh? Saya meluahkan kekecewaan saya pada Ustaz, mengenangkan betapa sukarnya pemuda-pemuda di Tanah Air kita untuk bangun menunaikan solat Subuh. Saya juga tidak terkecuali pernah melalui kesukaran ini, yang mana rasa derita ini hanya Allah yang tahu.
Kami terus berjalan dan berkongsi rasa, bertukar cerita, hingga sampai ke hotel.
Detik-detik ketika berada dalam bas juga membuatkan saya menginsafi peri pentingnya pembentukan sikap dan tabiat pada diri sendiri. Suatu petang dalam perjalanan dari Padang Panjang menuju Maninjau, kami diuji dengan kesesakan lalu lintas . Saya yang baru tersedar dari "tidur-tidur ayam" terus menggaru hidung saya dengan kuat. Ustaz Pahrol di sebelah saya menegur dengan lembut,
"Selsema ke?"
"Ah? gatal hidung saja." Respon saya.
Bila saya teringat peristiwa itu, saya senyum seorang diri. Segan pula rasa.
Ketika melewati "Kelok palsu" dan "Kelok 44" menuju ke Maninjau buat pertama kali juga tidak kurang hebatnya. Dengan jalan yang bengkang-bengkok, hari yang semakin gelap, hujan yang turun, dan jalan yang sempit membuatkan saya berasa takut, sangat penat dan berasa mabuk jalan. Saya melatih bibir saya untuk terus berwirid, mengajar diri untuk bertawakkal. Saya melihat Ustaz Pahrol di sebelah saya, beliau sesekali mengucapkan kalimah-kalimah zikrullah apabila terlihat bas melewati dengan kenderaan yang menghimpit dari arah bertentangan dan ketika bas melewati satu-satu selekoh yang sempit. Alhamdulillah akhirnya sampai jua ke Maninjau Inn dengan selamat.

Hikmah di sebalik peristiwa-peristiwa ini, saya lebih mengingatkan diri saya bahawa lahiriah kita ini adalah daripada tabiat kita, bagaimana kita mencorak sikap kita. Benarlah kata seorang tokoh, hendak mengenali seseorang yang dianggap baik, kenalilah dia dengan bermusafir dengannya. Daripadanya kita pelajari sikapnya. Daripadanya itu kita dapat mencermin diri kita. Daripadanya kita temui apa yang tidak ditemui pada diri kita.
Peristiwa Subuh ini menemukan diri saya, bahawa saya berjaya mencorak dan dicorak sang pendidik ke atas diri saya akan kepentingan menjaga waktu pagi kita. Nampak macam biasa sahaja pada diri saya tetapi yang tersirat itu, sedikt demi sedikit saya dapat menghargai diri saya lebih daripada sebelumnya. Setiap kali saya rasa 'down' disebabkan banyaknya dosa, saya teringat akan peristiwa Subuh ini.
"Betapa banyaknya limpahan kasih Allah pada hamba-Nya, tapi banyakkah aku menghargai diri aku sebagai hamba Allah, atau lebih banyak sering mengeluh kalah?"
Astaghfirullah. Astaghfirulahal adzhim. Berulang kali hati saya menyoal.
Ya Allah jadikanlah kami hamba-Mu yang bersyukur..
2335
21082016
Teratak Indah, Alor Gajah.