Wednesday, 8 April 2020

Coretan sebelum hari jadi ke-25


Beberapa hari lagi, aku akan menyambut ulang tahun aku ke-25 (insyaAllah). Maka pada saat ini aku terfikir kepada dua usia yang paling penting dalam masa-masa yang mendatang,
iaitu usia 40 tahun,
dan usia 63 tahun (usia ketika Nabi kita sallallahu alaihi wa sallam wafat).

Untuk mencapai usia 40 tahun, bermakna tinggal 15 tahun lagi untuk mencapai usia penting itu. Soalnya, mengapa usia 40 tahun begitu penting untuk dilihat?

Perihal usia 40 tahun ini, orang yang membawa pesan padaku ialah ibuku yang telah melahirkan aku hampir genap 25 tahun yang lalu.

Sejak aku pada usia awal 20an, aku seringkali meluahkan keluhanku pada ibuku betapa peritnya menginjak usia dewasa. Aku kira mengalami usia-usia seperti ini, kegelisahan tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seharian kerana mengenang apakah jalan yang aku sedang tempuhi ini benar-benar baik untukku ataupun kenapa dulunya aku begitu berdisiplin dan bersemangat beribadah namun sekarang, lain keadaanku?

Ibuku berpesan begini bunyinya (mafhum):
"Awak dah 40 tahun nanti, baru dibukakan hijab..."

Demikianlah ibuku berpesan. Semoga umur ibuku diberkati dan diberi kesihatan yang baik sentiasa.

Begitu juga para asatizah membawa peringatan pentingnya usia 40 ini, dimana peri pentingnya mengingatkan aku untuk bersedia, walau keadaanku serba carca merba.

Usia terpenting yang kedua, adalah 63 tahun. Usia tersebut adalah usia ketika Baginda wafat. Aku mengambil usia Baginda sebagai peringatanku juga.

Ayah pendamping terbaik. Terutamanya anak lelaki.

Aku teringat pesan usia itu adalah ketika aku membaca sebuah sketsa berbentuk komik. Seingat aku, ia mengisahkan ketikamana sang ayah mengumpulkan anak-anaknya. Ada yang remaja, ada yang masih kanak-kanak dan ada yang menginjak dewasa. Ayahnya memberikan anak-anaknya itu meneka berapakah usianya? Mereka menjawab 67 tahun (lebih kurang). Maka ayahnya menjawab begini:

"Alhamdulillah... bermakna Allah bagi ayah subsidi 2 tahun umur." (mafhum).

Nussier Yasin atau Nas Daily, seorang Vlogger travel. Baju berapa peratus itu menunjukkan berapa lama dan baki usia menurut perkiraan beliau.

Satu ketika beberapa tahun lepas, aku menonton satu video Nas Daily berkenaan apa yang dia maksudkan di sebalik tshirt yang dia pakai. Tshirt hitam atau kelabunya menunjukkan usianya hanya tinggal berapa peratus sekian-sekian. Apa yang aku dapat fahami, Nas atau Nusseir Yasin mengambil purata umur penduduk di Amerika Syarikat iaitu tempat beliau menetap (namun beliau berwarganegara Isra3l) iaitu 73 tahun (tak silap saya) sebagai ukuran beliau. Dari situlah, aku berfikir aku akan menjadikan usia Nabi kita wafat iaitu 63 tahun sebagai pengakhiran usia. Hanya indikator untukku berapa baki lagi usia aku yang tinggal. Jika Allah izin aku diberi hidup pada usia sebegitu, maka itu atas urusan-Nya. Jika Allah meneruskan lagi usiaku selepas itu, aku kira itulah subsidi. Sekali lagi, hanya sebuah perkiraan namun tidaklah sampai aku taksub.

Benar, kematian adalah kuasa Allah. Jika Allah mengkehendaki, Allah boleh ambil nyawa aku sebelum sempat lagi aku menyambut hari jadi aku. Walauapapun yang Allah kehendaki atas diriku, aku bersyukur kerana aku masih diberi nyawa untukku kembali bertaubat atas dosa-dosaku dan memperbaiki diriku. Namun begitu, mengapa aku menulis mengenai hal usia?

Di sebalik umur 25 tahun ini, aku sendiri semakin merasai penderitaan sahabat-sahabat atau abang kakak senior yang lebih tua daripadaku, iaitu apa yang mereka telah rasai pada usia seperti ini. Jika dahulunya aku pernah bersikap perjudis bahawa lelaki ini tahu nak berkerja saja tidak mahu belajar, sekarang ini, aku sedang menghadapi satu fasa hidup yang, bungkam. Rasa tak tahu apa yang aku perlu lakukan, rasa gelisah yang berpanjangan, rasa malas.

Mungkin hal yang perlu diutamakan pada usia ini adalah berkahwin. Agar kegelisahan ini dapat diubati sedikit sebanyak dengan adanya belahan jiwa di sisi. Namun apakah kemampuanku jika aku masih tidak dapat meyakini orang tuaku, bahkan melihat pada diriku sendiri yang masih serba kurang?

Usia 25 dah mula kerap merenung diri. Kredit: Harian Metro dll.

Di situlah, aku semakin mengamati, memahami sahabat-sahabat dan abang kakak seniorku yang belum berkahwin. Mungkin juga ada beberapa banyak goresan hatinya apabila ditanya bila mahu kahwin. Hal kahwin pada sesetengah orang yang melihat usia ini dilihat mudah namun, hati ini siapa yang tahu. Bukan sahaja hal kahwin. Kahiwn hanya satu contoh. Hal kerja, hal keluarga, hal dapat tauliah mengajar, bukan semua yang pada usia begini nasibnya sama. Bukan semua mampu dapat apa yang dia nak pada saat yang dia rasa perlu.

Di situlah dapat diamati mengapa usia 25 ini terkait dengan tekanan, dek melihat kawan-kawannya berkahwin dan berkerjaya yang lebih baik sedangkan, yang merasai tekanan ini masih terkapai-kapai.

Sebelum aku mengakhiri coretan aku, izinkan aku berkongsi satu hal penting daripada Ustaz Abdullah Al Amin, yang aku dengar di radio IKIM.

Kata Ustaz, dalam hidup ini ada satu fasa dalam kehidupan dimana, pada ketika itu, turning point dia boleh berlaku (saya dah lupa istilah dia. Baru dengar dalam waktu dhuha bulan lepas. Silap aku tak catat). Perwatakan atau cara dia memandang pada waktu itu, berbeza. Sebab itulah antara panduan yang ustaz bagi, adalah mencari guru. Boleh jadi kawan kita juga menjadi guru kita untuk pandu kita agar tidak "crash" (ni istilah aku).

Jadi itu saja coretan aku pada suatu pagi di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selamat menghayati nikmat usia ini wahai diriku.

Ada masa, waktu hari jadi aku ke-25 lagi aku kongsikan pandangan aku terhadap hidup. Insya Allah.