Tuesday, 20 December 2016

Frust? Jangan undur dulu!

Bismillah. Alhamdulillah, selawat dan salam kepada Rasulillah (lam baris bawah sebab selepas huruf jarr), keluarga serta para sahabat Baginda, serta orang-orang yang terawal mengikutinya.

A'mma Ba'd.

kalau give up, selepas ini apa? [kredit gambar]


Syukur Alhamdulillah, masih lagi hidup dalam nikmat Islam dan Iman, masih lagi duduk bersama-sama sahabat-sahabat yang memproseskan diri mereka menjadi hamba Allah yang taat, lagi berkualiti. Walaupun ada yang pergi (kerana frust nampaknya), tetapi dakwah di bumi ini tak sesekali berhenti dan pergi, seperti perginya mereka yang pergi.

Sudah sampai ke penghujung semester tiga. Bahkan lebih besar lagi adalah, tibanya penghujung tahun dua ribu enam belas (2016). Hujung semester dah (bukan sem akhir, ya). Hujung tahun, hujung bulan pun sudah (lebih kurang 10 hari lagi 2017 muncul). Allahu, masih banyak lagi kelemahan dan tanggungjawab yang belum terlaksana!

Saya teringat satu 'quote' ini: "حاسبو أنفسكم قبل أن تحاسبو" (Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung - di akhirat kelak). "Rupanya sudah bulan dua belas." Hati saya berbisik, bahkan lebih terusik bila mengenangkan apa yang saya telah habiskan sepanjang tahun ini.

Sebelum masuk kepada perbincangan saya mengenai tajuk ini, suka saya untuk membentangkan tanggungjawab-tanggungjawab utama yang sedang saya galas ini (sama ada saya minta ataupun tidak) agar dapat saya 'memukul' diri saya, bangunkan diri yang lalai ini.

1. Abid dan Khalifah, yang mendapat kefahaman, yang sepatutnya menjalankan tugas dengan baik di medan amal - sebuah universiti Islam di Kuala Nerus.

2. Mahasiswa ISM Qiraat Semseter Dua dan Tiga, yang sepatutnya menjaga hafalan daripada lupa, dan menjadi qudwah kepada mad'u-mad'u dan masyarakat sekeliling terutamanya.

3. Mas'ul (orang yang dipertanggungjawabkan - rujuk Hadis 2 Arbai'n Nawawiyyah) Rumah Ikhwah, sebuah rumah yang kami sewa untuk tujuan dakwah di medan amal.

Ketiga-tiga tugas ini, saya mengakui gagal membuat yang terbaik...gagal berusaha sedaya:

1. A'bid - berperanan meningkatkan kualiti amal, tetapi masih tidak seperti A'bid sang penghafal Al-Quran walaupun berkali-kali senaraikan mutabaah amal, dan jahiliah yang masih... tidak berkurang. Lebih menyedihkan tawakkal pada Allah berkurang - doa pun ringkas dan nak cepat. Khalifah - sepatutnya sekarang sudah ada mad'u yang menjadi mutarabbi, yang komited dengan tarbiah, tetapi tiada seorang pun mutarabbi yang di bawah asuhan saya sendiri, hingga 'menumpang' ikhwah lain untuk mengasuh mutarabbi-mutarabbinya.

2. Mahasiswa Qiraat - berperanan menjaga hafalan Al Quran, tetapi asyik tiada mood untuk ber-tilawah dan murajaah. Mengapa begitu...? Kerana dosa-dosa aku yang menggunung, atau ego-ku yang melangit? Allah. Qudwah? Masuk ke kelas lambat, menghantar tugasan dengan cara yang tidak berkualiti... Inikah aku yang sepatutnya?

3, Masu'l RI - berperanan untuk menghidupkan bi'ah (dan saya yang cadangkan diri saya mengambil alih kepimpinan ini), tetapi tidak menunjukkan peranan dalam meng'hidup'kan setiap ahli rumah dengan sifat Ihsan, (saya) masih emo, zhonn, dan... ego terhadap ahli yang lain? Bagaimana keadaan isteri saya kelak andai masih marah-marah kerana mood tak baik semata? Hmm, jauh lagi perjalanan, usah asyik berangan.

Yup, na'am. Saya gagal lagi. Dua tahun lepas pun saya ada tulis kegagalan saya juga dalam blog ini. Blog luahan kan? Emm.

Apapun, saya menulis entri ini adalah untuk memberi harapan kepada saya sendiri terutamanya, dan para pembaca yang budiman agar untuk terus melangkah menapaki dunia ini, kerana sejuta kegagalan itu belum muktamad gagal andai ajal kita belum sampai kepada kehendak Tuhan.

Diriku, dan saudara saudari yang budiman.

Panjangnya perjalanan kehidupan ini. Suatu ketika saya ada membuka sebuah video tentang proses kejadian manusia yang berbentuk janin - dari pancaran air mani sehingga menjadi bayi yang cukup sifat dan bersedia untuk keluar ke alam dunia selepas sembilan bulan sepuluh hari, terlintas di fikiran saya bahawa, begitu banyaknya Allah nyatakan dalam Al Quran akan proses demi proses kejadian manusia, seperti dalam awal surah Al Hajj, Surah Al Mukminun, juga potongan-potongan ayat yang pendek dalam berbentuk istifham (pertanyaan). Seakan-akan, Allah berkali-kali memberikan ayat-ayat sebegitu untuk kita mengenang kembali, mengapa kita dihidupkan, dan masih kita hidup di atas muka bumi ini? Jika bukan dengan izin Allah, masakan kita dilahirkan, dan membesar di sini?

janin berusia 28 minggu. [kredit]

Proses kejadian manusia itu, pada saya adalah bermulanya sebuah perjalanan. Sembilan bulan dan sepuluh hari itu, bukan masa yang sekejap. Walau kita di dalam perut ibu itu kita tidak tahu apa itu dunia, tetapi proses demi proses kejadian manusia itu, semua terjadi dengan izin Allah! Ibu yang mengandungkan kita pun, tak mampu hendak mencantumkan daging, tulang dan darah yang mengalir dalam diri janin. Juga, sang ibu tak mampu memberi roh pada janin itu. Janin itu membesar dengan sihat dalam perut ibu sehingga dapat keluar ke dunia nyata. Maha Suci Allah. Semuanya terjadi atas kekuasaan Allah. Kun, fayakun.

Kita melalui zaman kecil, zaman kanak-kanak sehingga sekarang, mejadi belia remaja. Masa inilah kita katakan pada diri, "semuanya berlalu dengan pantas".

Kenangkah kita, akan episod-episod manisnya perjalanan kita semasa membesar sebagai seorang kanak-kanak? Dengan memori manis ini, terfikirkah bahawa Allah telah menurunkan sifat belas dan kasih sayang kepada ibu bapa kita, serta orang-orang yang menjaga dan mendidik kita?

Kenangkah kita, akan kesukaran demi kesukaran sepanjang perjalanan hidup kita? Dengan kesukaran yang kita lalui, mengapa masih kita hidup lagi? Pertolongan Allah. Ya. Survive-nya kita, kerana Allah tolong. Datangnya masalah dan musibah, kerana Allah juga hendak tolongi kita agar dinaikkan darjat. Tetapi, "sedikit sekali manusia yang bersyukur." Allah ulangi berkali-kali dalam Al Quran, tetapi kita yang berulang-ulang membaca Al Quran, sedikit sekali berfikir walau hanya sejenak.

Dewasa ini, kita telah menempuhi satu demi satu langkah, detik demi detik, cabaran demi cabaran, dan perubahan demi perubahan. Dengan langkahan itu, kita berkali-kali ditemukan dengan satu makhluk yang Allah cipta pada diri kita.

Makhluk itu bernama, kekurangan.

Umumnya, manusia dicipta adanya kekurangan seperti yang Allah kata dalam Al Quran, "وخلق الإنسان ضعيفا" (dan manusia diciptakan dengan kelemahan). Apa yang saya hendak fokuskan di sini adalah, sebahagian kekurangan yang kita ada itu membuatkan kita lemah, dan berputus asa - kerana anggapan kita pada kekurangan itu.

Untuk diriku, dan saudara saudari yang dikasihi,

Allah subhanahu wa ta'aala pilih kita untuk kita hidup di dunia ini, kerana Allah izin - seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Kita dibentangkan berbagai jalan, manhaj,... tetapi, Allah pilih kita sebagai seorang Muslim, sebagai seorang hamba-Nya, sebagai umat Rasul-Nya Muhammad 'Al-Mukhtar', dan... sebagai seorang dai'e! Ya! Umat Nabi Muhammad A'layhis solatu was salam sudahpun mendapat tugasan seperti tugasan para nabi dan Rasul. Kita dipilih untuk menyambung perjuangan yang ditinggalkan Kekasih kita alayhis solatu was salam. Kita diberi peluang untuk meraih ganjaran yang sangat besar berbanding umat-umat yang terdahulu, dan pengampunan Allah yang maha luas pengampunan-Nya!

Sejauh mana, kita meraih peluang ini?

Kita diberikan kefahaman demi kefahaman, peranan demi peranan. Kita sudahpun dan sedang mencuba melaksanakan peranan itu. Namun, berapa ramai yang sanggup bertahan? Adakah gugurnya mereka (dan kita juga) itu, kerana hanya sebuah kekurangan?

Bagaimana sikap kita, apabila menghadapi kekurangan-kekurangan itu? Hadapi dengan menguruskan kekurangan, atau lari?

"Matang adalah menerima hakikat bahawa hidup ini akan mati." Mafhum kalam Kak Fynn Jamal. Saya teringat kata-kata ini. Ya, pengakhiran kita adalah mati. Kematian adalah suatu makhluk yang misteri. Terfikir sejenak, bagaimana dengan perjalanan kita menuju mati?

Diriku, dan saudaraku yang dirahmati Allah,

Proses kita diciptakan itu, adalah suatu proses. Begitulah juga, menuju kematian itu adalah suatu proses. Ya, walaupun menuju mati itu tak sesingkat kita di dalam perut ibu, tetapi persamaannya adalah PERJALANAN. Walaupun menuju kematian itu adalah suatu perjalanan, kita yang mengaku beriman dengan hari akhirat sudah tentunya tidak akan katakan "perjalananku sudah berakhir di sini" ketika kita sudah sampai ajal. Kita akan tempuhi perjalanan yang seterusnya, yang lebih panjang, lebih jauh lagi dari kiraan usia kita di dunia. Itulah alam akhirat, yang menjadi destinasi sebenar seluruh umat manusia, sama ada di neraka, atau di syurga - mengikut perhitungan amalnya di dunia.

Seharian kita banyak mengeluh atas kekurangan kita. Remaja mengeluh kerana mencela dirinya "tidak matang" dan "masih budak-budak aku ni", Belia dan dewasa mengeluh kerana bebanan yang dirasainya, kerana kekurangannya. Diriku, saudaraku, apabila mengeluh, istighfarlah, Jangan menyesali kekurangan kita, kerana itulah anugerah Allah. Indahnya ciptaan Allah di muka bumi ini kerana setiap sesuatu itu diciptakan dengan berpasang-pasangan. Kejadian siang dan malam, cuaca yang cerah dan hujan, tumbuhan yang menyedut udara dari manusia itu, adalah sunnatullah yang menjadikan alam ini indah dan seimbang. Kekurangan yang kita ada itu, dilengkapi oleh manusia lain, yang kita dipertemukan saat-saat yang lalu, yang sedang kita lalui, bahkan akan datang nanti. Kekurangan manusia lain, akan kita lengkapkan ia dengan kelebihan yang ada pada kita.

Oleh itu, janganlah mengalah dengan kehidupan ini - kehidupan dakwah. Kerana iman naik dan turun itu suatu proses, Kita bukanlah malaikat yang imannya sentiasa stabil. Hatta Baginda sallallahu a'layhi wa sallam pun mengingatkan para sahabat yang mengadu pada baginda kerana lemahnya iman saat mereka tiada di sisi Baginda; "seandainya iman kamu sentiasa naik, malaikat akan turun bersalam dengan kamu."

Indahnya ciptaan manusia, buat orang-orang yang berfikir. Kerana pada sesebuah kejadian Tuhan itu, terbitnya inspirasi dan harapan kita untuk terus hidup sebagai hamba-Nya, berbudi kepada alam dengan penuh Ihsan, dan terus berusaha mengembalikan yang hak pada tempat yang sepatutnya.

Sekian,
E.A Osman
4:34PM
20 Disember 2016
.