Dengan Nama Allah, Sang Pemurah terhadap Makhluk-Nya, Sang Penyayang terhadap Hamba-Nya.
Selawat dan Salam keatas Muhammad -Penghulu Segala Anbiya- serta Ahli Keluarga serta Sahabat-Sahabatnya.
Alhamdulillah, tanggal 31 Disember 2014 Masihi bersamaan 9 Rabiul Awwal 1436 Hijriah, pukul 9.16 malam di bumi Terengganu, Allah izinkan aku berada di penghujung tahun 2014 masihi untuk aku muhasabah kembali apa yang aku telah usahakan, dan apa yang telah aku cuaikan sepanjang tahun ini. Walaupun di tengah-tengah kesibukan dek musim imtihan final Sem V, Allah buka pintu hati aku untuk mencoret luahan rasa ini.
Pertamanya, aku mengungkapkan kata-kata syukur kepada Allah, kerana Allah pilih aku untuk menjadi seorang Muslim sehingga kini. Bukan itu sahaja, Allah pilih aku lagi untuk menanggung amanah sebagai seorang yang membawa kalam-Nya, Allah pilih aku juga untuk menuntut ilmu agama, walaupun tempatnya kini di sebuah IPTA. Aku bersyukur, tapi aku melihat diri aku hanya tahu mengucapkan kata-kata syukur itu di bibir semata, jasad dan ruhku tindakkannya entah ke mana, langsung tidak menekankan usaha untuk menjadi seorang yang benar-benar dipilih oleh Allah! Langsung tidak menjadi qudwah, tidak menjadi inspirasi kepada manusia lain!
Mengapa aku berkata begitu? Kerana aku sedar sejak sekian lama, agama dan umat Islam sering ditindas, dianaktirikan, ditikusputihkan, bahkan dilayan macam sampah di ceruk jalanan. Pada Muslim yang tidak berasa ditindas, mereka lagi kasihan... mereka sangat lalai dengan kehidupan dunia, dari Muslim yang biasa hingga sang agamawan, mereka hanya tahu kehidupan ini hanya untuk mencapai cita-cita dunia sahaja, seakan-akan mereka tidak tahu menahu apa yang mereka patut buat, tidak tahu menahu apa peranan mereka sebagai seorang yang menerima ucapan keramat Laa ilaaha illallah Muhammadur Rasulullah! Berbillion bilangan umat Islam, tetapi kenapa dan terus kenapa, hanya sedikit sahaja yang menghargai apa itu Islam kepada diri mereka? Tidak fahamkah mereka, apakah mereka benar-benar mengerti bahawa Allah telah pilih dia untuk berada di jalan-Nya yang benar? Jika mereka faham pun, mengapa mereka masih lagi tidak kuat, sedangkan Islam pernah gemilang suatu ketika dahulu! Allah! Allah! Allah!
Berbalik pada diri aku, aku telah dikurniakan ayat-ayat al Quran melalui ingatan, aku pernah duduk dalam suasana al Quran, bahkan aku sedang duduk dalam lingkungan tarbiyah... tetapi, apa guna aku pernah rasa dalam biah ini, sedangkan usaha aku untuk Islam terlalu sedikit? Jika sedikitpun yang ada, apakah Allah terima amalan aku selama ini?
Mengapa dan mengapa, aku yang dipilih Allah dengan bermacam-macam nikmat, tidak begitu cemerlang dalam ibadat, tidak cemerlang dalam akhlak, nakal-nakal macam budak hingusan, lalai dan leka dengan persoalan jodoh, persoalan masa depan, tidak fokus dalam kelas, lambat masuk kelas, lambat buat kerja, tidak buat ulangkaji pelajaran, kebersihan bilik pun entah hapa hapa, kurang mengulang hafalan al Quran, tidak cemerlang dalam pelajaran, pakai earphone dengar lagu, manja manja dengan diri sendiri dan..... ahhh banyaknya...
Aku bila terikut dengan sesuatu isu, akulah yang paling banyak 'sembang' pasal itu. Padahal, ada ke aku usahakan apa-apa untuk selesaikan isu itu? Tsk.
Ya Allah, ampuni atas kelalaian aku selama ini.
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya menjadi qudwah kepada orang lain.
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya menjaga amal ibadat setiap hari.
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya menjaga dan mensucikan hati setiap masa.
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya menepati waktu untuk solat, dan untuk memenuhi hak orang lain dan hak sendiri.
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya konsisten terhadap penjagaan hafalan al Quran dalam diri, bukan asyik dengar lagu je.
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya menghidupkan rumahku dengan biah solehah.
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya tiada masa rehat untukku. Masa yang terluang itulah aku guna untuk perbaiki diri dengan memberi manfaat pada orang lain.
Aku yang dipilih Allah, menjaga Tahajjud itulah yang patut menjadi wajib atas diri aku. Aku takkan pandang ringan lagi padanya.
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya sudah mahir mengenai sirah Nabi Muhammad Sallallahu Alayhi Wa Sallam, ahli keluarga baginda, para sahabat baginda, para salafussoleh sebagai panduan kepadaku untuk menyelusuri jalan dakwah yang panjang ini.
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya aku lebih cemerlang daripada orang lain, terutamanya dalam kalangan rakan sekelas aku!
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya menjaga mulut daripada menyakiti hati sahabat, menyakiti orang lain. Mulut yang aku guna hanyalah menyebarkan keindahan al Quran kepada orang lain!
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya tidak berasa jemu dalam menuntut ilmu!
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya aku berpendirian teguh, iaitu al Quran matlamatku! Tidak begitu mudah tunduk kepada pujukan, desakan, ideologi orang lain.
Aku yang dipilih Allah, tidak patut aku berasa bangga dengan apa yang ada, tidak patut berasa bangga dengan dunia, dengan ilmu, dengan amal... cukuplah berbangga dengan Islam yang aku ada untuk aku bawa kepada seluruh alam!
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya menjadi sahabat yang baik, sahabat yang bersifat ukhrawi, sahabat yang sebenar-benar cinta kerana-Nya sampai syurga, susah senang aku takkan biarkan dia di tepi jurang api neraka.
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya menjadi seorang Muslim yang intelek, yang cerdik pandai, yang menjadi rujukan kepada orang lain.
Aku yang dipilih Allah, sepatutnya menjadi inspirasi terhadap keindahan al Quran kepada orang lain.
Aku yang dipilih Allah, ke mana sahaja aku pergi, aku membawa al Quran dalam diri aku!
Ya Allah, aku sedar. Beri aku kekuatan untuk aku berubah menjadi lebih baik.
Tahun 2015, insya Allah aku menjejak usia dua dekad. 2015, suatu tahun yang amat mencabar, memerlukan asakan demi asakan untuk aku terus berbakti kepada ummah. Aku dipilih Allah, AKULAH HERO BUAT UMMAH!
19 tahun hidup dalam penyesalan. Moga aku tidak jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Moga aku dapat menggegarkan dunia dalam masa sepuluh tahun. Moga orang lain terinspirasi terhadap al Quran yang aku bawa. Moga aku jadi insan yang luar biasa. Moga aku syahid!